BOLEH DISAMAN: Kuasa Warden Trafik Sekolah


Warden trafik sekolah menjalankan tugas menjaga keselamatan murid-murid yang mahu melintas di Sekolah Kebangsaan Bohor Mali, Simpang Empat Perlis,

KANGAR 16 Feb. - Jika tidak memberhentikan kenderaan untuk memberi laluan kepada kanak-kanak melintas di hadapan sekolah, jangan beranggapan sudah terlepas daripada tindakan undang-undang.

Walaupun individu yang meminta pengguna jalan raya itu memberhentikan kereta hanyalah seorang warden trafik sekolah, tetapi kuasa yang mereka miliki boleh menyebabkan pengguna yang ingkar berdepan hukuman saman lalu lintas.

Ini kerana, warden trafik sekolah terlibat boleh menghantar nombor kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut kepada polis trafik untuk tindakan lanjut.

Sehingga kini, Perlis mempunyai 76 warden trafik yang membantu murid-murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menyeberangi jalan di kawasan Parlimen Kangar, Arau dan Padang Besar.

Mereka yang bertugas sebagai warden trafik itu kebanyakannya terdiri daripada pengawal keselamatan dan kakitangan sekolah yang menjalankan tugas berkenaan pada waktu pagi, tengah hari dan petang.

Warden trafik itu pula berpakaian seragam yang bersarung tangan dan bertopi putih serta menggunakan wisel dan papan tanda 'BERHENTI' yang dibekalkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sewaktu bertugas.

Pemangku Pengarah JKJR Perlis, Mahmud Shahruddin Mustaffa memberitahu, pihaknya menyediakan peralatan berkenaan kepada warden tersebut untuk menolong murid selamat melintas di hadapan sekolah masing-masing.

"Sejak 2007, kami membekalkan pakaian seragam warden trafik untuk 76 sekolah di Perlis. Mereka yang bertugas itu pula bergantung pada pihak sekolah itu sendiri, tetapi lazimnya pengawal keselamatan.

"Perlindungan insurans untuk warden trafik sekolah diuruskan oleh pihak sekolah, terutama melalui persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta pihak pengurusan sekolah berkenaan sendiri," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Katanya, 76 sekolah yang mempunyai warden trafik itu terletak di tepi jalan utama yang sentiasa sibuk seperti jalan Kangar-Alor Setar, Kedah; Jalan Kangar-Arau; Jalan Kangar-Padang Besar dan jalan-jalan utama di bandar Kangar, bandar Padang Besar dan bandar Arau sendiri.

"Sehingga kini, JKJR mendapati majoriti pengguna jalan raya mematuhi pandu arah warden trafik sekolah terutama bagi sesi pagi ketika jalan raya sibuk dengan ramai pengguna yang menuju ke tempat kerja.

"Jika ada pemilik kenderaan, seperti penunggang motosikal yang ingkar terhadap arahan warden trafik sekolah itu, dia boleh menghantar nombor motosikal dan keterangan kesalahan kepada polis trafik negeri untuk tindakan lanjut.

"Kesalahan tidak memberhentikan kenderaan seperti yang diminta oleh warden trafik sekolah sama dengan kesalahan melanggar lampu merah di persimpangan jalan yang dilengkapi lampu isyarat," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.