Dalam surat bertarikh 5 Mei, ROS mengatakan penilaian ini berdasarkan dokumen yang diberikan oleh pihak berkaitan.
"Berdasarkan dokumen yang dikemukakan - iaitu surat peletakan jawatan pengerusi, ROS mengesahkan peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi Bersatu oleh Muhyiddin, presiden Bersatu adalah juga sah dan masih berkuat kuasa selaras dengan peruntukan perlembagaan Bersatu sehingga diadakan pemilihan pengerusi baru,” menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini.
Surat itu memetik Artikel 16.9 perlembagaan parti untuk keputusan berkenaan.
Ia menetapkan bahawa jika pengerusi itu mengundurkan diri atau dipecat daripada parti, presiden akan mengambil alih jawatan pemangku pengerusi sehingga pengerusi baru dipilih.
Surat itu ditujukan kepada setiausaha kerja Bersatu, Suhaimi Yahya untuk menjawab pertanyaannya mengenai perkara itu pada 1 Mei.
Ketika dihubungi, jurucakap ROS mengesahkan bahawa surat itu sah.
Sebelum ini, Mahathir telah mengundurkan diri sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu pada 24 Februari, setelah parti itu menentangnya dan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan untuk membentuk Perikatan Nasional (PN).
Tidak lama selepas meletakkan jawatan, Bersatu telah meyakinkan Mahathir untuk terus memegang jawatan pengerusi parti dan mengumumkan beliau akan kekal memegang jawatan itu.
Bagaimanapun, mereka kemudian gagal meyakinkan Mahathir untuk menyertai PN dan kem Muhyiddin kemudian mengenepikan pengumuman sebelumnya agar Mahathir kekal sebagai pengerusi.
Susulan perselisihan dengan Mahathir, kem Muhyiddin menyatakan bahawa parti itu tidak dapat menolak pengunduran Mahathir justeru peletakan jawatan sebagai pengerusi sebelum ini tetap diambil kira.
– Mkini
0 comments:
Post a Comment