HOT!!! Inilah Barisan EXCO Baharu Kerajaan Negeri Kedah - Lantikan 30% Wanita Dicapai (Ada Video)






'Terima kasih kerana mempercayai saya untuk pegang amanah ini' - Suraya Yaacob
 
ALOR SETAR: “Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti dan Menteri Besar kerana mempercayai saya untuk memegang amanah ini.”Itu reaksi spontan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob, yang sekali lagi dipilih sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Kedah yang baharu.

Suraya yang lebih senang dipanggil “Kak Su” tidak menyangka sama sekali dia akan dipilih menganggotai barisan EXCO negeri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) pada kali ini.

Jelasnya, dia dipanggil oleh Menteri Besar, Sanusi Md Noor pada petang Ahad dan di dalam pertemuan itu Sanusi menginginkan beliau memegang amanah dibawah portfolio Bekalan Air, Sumber Asli dan Kerja Raya.


“Kali ini kita agak berbeza kerana kita parti dalam komposisi yang agak besar jadi walaupun kita jangkakan Umno akan berada dalam kerajaan tetapi sama ada kita dipilih ataupun tidak untuk menjadi EXCO sesuatu yang agak kabur.

“Ini kerana kerusi yang kita pegang hanya dua berbanding dengan PAS yang memegang 15 kerusi jadi kita berharap tetapi tidaklah menjangkakan berlaku sebegini jadi terima kasih kepada Presiden parti yang telah memberi ruang dan peluang untuk saya menjadi EXCO,” katanya.

Malahan pada kali ini menjadi sejarah bagi negeri Kedah dimana tiga wanita dipilih menganggotai barisan EXCO negeri. 

Selain Suraya, dua lagi yang bakal dilantik adalah ADUN Merbau Pulas, Datuk Siti Aishah Ghazali daripada Pas dan ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Saadiah Saad daripada Bersatu.

“Menarik kali ini adalah barisan EXCO ini daripada sepuluh orang, ada tiga EXCO wanita daripada Bersatu, Umno dan juga PAS.

“Jadi untuk pertama kali wanita mencipta sejarah tiga puluh peratus dalam pentadbiran kerajaan negeri untuk itu pastinya kami wanita berasa bangga dapat mewakili hampir satu juta wanita rakyat Kedah ini dalam pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya kepada Astro AWANI.

Pengalaman Kak Su sewaktu menjadi Exco Pertanian, Kebajikan Wanita dan Usahawan pada tahun 2013 hingga 2018 sememangnya ditagih untuk pembangunan negeri dan memberi servis terbaik kepada rakyat Kedah amnya.

Malah jawatan yang diberikan kepadanya tidak pernah dipegang wanita sebelum ini.

“Menariknya kalau dulu saya pegang portfolio bukan biasa untuk wanita dulu pertanian tak pernah lagi wanita jaga pertanian tetapi pada kali ini portfolio yang dipegang itu tidak pernah dipegang oleh seorang wanita.

“Menjaga bekalan air sumber asli dan kerja raya langsung tak pernah menjadi sesuatu yang saya fikir akan saya boleh buat.

“Pastinya kita ingin menunjukkan bahawa ini bukan mengenai keupayaan seorang wanita (semata-mata), ia keupayaan seorang wakil rakyat untuk menjalankan tugas untuk memastikan semua rakyat mendapat sumber air yang baik dan tidak terhenti pada bila bila masa,” tambahnya lagi.

Suraya ditemui di rumahnya selepas selesai mengikuti raptai penuh Majlis Mengangkat Sumpah EXCO Kedah, yang berlangsung di Wisma Darul Aman.

Majlis mengangkat sumpah dijangka akan berlangsung pada pukul 10 pagi Rabu di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.