Mohamad Lutfi menunjukkan hidangan nasi Arab dalam talam yang
telah ditempah oleh pelanggannya
KREATIF dan cepat bertindak berjaya membantu pemilik Kawariq Soup, Mohamad Lutfi Mohamad Bakhi menjamin kestabilan bisnes makanan dan minuman (F & B) yang diusahakan di Bukit Besar, Kedah.
Beliau yang menjual sup kaki kambing sebelum ini tampil dengan menu baharu iaitu nasi Arab dalam talam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan.
Perniagaannya mendapat perhatian ramai apabila usahawan berusia 25 tahun itu menjual nasib Arab kepada pelanggan dengan talamnya sekali.
Mohamad Lutfi berkata, dia melakukan cara tersebut kerana mahu mencari kelainan sebagai usaha untuk terus menjana pendapatan dalam waktu sukar.
“Saya mendapat idea menghidangkan nasi Arab dalam talam kerana saya tidak mempunyai restoran sendiri untuk menjalankan kerja-kerja pembungkusan.
“Kekangan ini menyebabkan saya mengambil keputusan menjual nasi Arab dalam talam dan dengan memberikan sekali talam kepada pelanggan,” katanya kepada Bisnes Sinar.
Mohamad Lutfi berkata, dia menjual nasi Arab dalam talam kerana mahu memberi pengalaman kepada pelanggan menikmati sajian berkenaan seperti di negara Timur Tengah.
“Kami menerima maklum balas yang positif daripada pelanggan dan mereka berpuas hati dengan rasa dan keenakan serta saiz nasi, ayam dan kambing yang disediakan.
Kebanyakan mereka akan menempah berulang kali. Malah ada juga pelanggan memberitahu seolah-olah menikmati nasi Arab ketika melakukan ibadah umrah,” katanya.
Modal RM50
Mohamad Lutfi berkata, beliau hanya menggunakan modal sebanyak RM50 untuk memulakan perniagaan nasi Arab dalam talam itu.
“Saya mahu berniaga kecil-kecilan sahaja kerana pada peringkat awal PKP dilaksanakan saya telah menghabiskan banyak wang kerana tiada pekerjaan.
“Namun, tempahan diterima semakin hari semakin meningkat. Daripada 25 talam saya menerima sehingga 60 talam ketika PKP sepanjang Ramadan,” katanya.
Menurutnya, perniagaan nasi Arab dalam talam itu dipromosikan melalui platform media sosial.
“Pelanggan akan menempah dengan menghubungi saya atau meninggalkan pesanan di Facebook
“Saya juga hanya menyediakan nasi Arab dalam talam berdasarkan tempahan yang diterima sehari sebelum penghantaran dilakukan,” katanya.
Menurutnya, harga ditawarkan juga berpatutan dengan kualiti dan kuantiti makanan disediakan.
“Saya menjual set nasi Arab dalam talam pilihan ayam pada harga RM45, set pilihan kambing (RM65) dan set pilihan campur ayam dan kambing (RM60).
“Sup kaki kambing saya jual pada harga RM8 dan untuk kombo pula harganya RM80,” katanya.
Selain nasi Arab dan sup kaki kambing, Mohamad Lutfi turut menjual nasi Arab mandi ayam dan kambing.
Malah, dia juga ada menjual nasi herba yang menggunakan resipi sendiri serta sambal bilis teruna.
Kesegaran
Bagi menjamin kesegaran ayam dan kambing yang dimasak, Mohamad Lutfi berkata, dia mengambil bahan mentah daripada penduduk tempatan.
“Alhamdulillah, saya mudah memperoleh bahan mentah yang diperlukan dan peniaga akan menghantarnya pada setiap hari.
“Saya gembira kerana secara tidak langsung perniagaan nasi Arab dalam talam ini telah mewujudkan ekosistem perniagaan yang rancak di kawasan saya,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Lutfi berkata, dia berdepan dengan masalah bekalan talam susulan permintaan nasi Arab yang meningkat.
“Talam sukar diperoleh ketika tempoh PKP dan saya terpaksa mencarinya di seluruh Kedah untuk memenuhi keperluan.
“Penghantar makanan pun turut membantu saya mencari talam,” katanya.
Mohammad Lutfi berkata, dia bersyukur kerana perniagaan yang diusahakan itu semakin berkembang maju.
0 comments:
Post a Comment