Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini selamat
menjalani pembedahan mengganti injap jantung di Institut Jantung Negara (IJN)
di Kuala Lumpur.
IJN dalam satu kenyataan ringkas berkata pembedahan selama tiga jam
itu diketuai oleh Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub dan kumpulannya.
“Ketika ini, Abdul Hadi ditempatkan Unit Rawatan Intensif (ICU) dan
keadaannya akan dipantau untuk beberapa hari akan datang sebagai rutin dalam
pembedahan bedah jantung.
“Doktor berpuas hati dengan pembedahan itu yang berjalan seperti
yang dijangkakan. Setakat ini parameter penting beliau adalah stabil.
"Doktor telah menasihatkannya supaya tidak menerima pelawat
kecuali ahli keluarga terdekat,” kata kenyataan itu.
IJN menyebut tempoh 48 jam akan datang adalah penting selepas
pembedahan, dan berkata Abdul Hadi akan berada di bawah pemerhatian rapi
sepasukan doktor dan jururawat.
Menurut IJN, pembedahan itu adalah mengikut jadual kerana Ahli
Parlimen Marang berusia 69 tahun itu mempunyai "tanda-tanda injap jantung
yang bocor".
"Keadaan ini menjejaskan aktiviti harian beliau,"
katanya.
Semalam, setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengajak
ahli dan penyokong parti itu supaya berdoa dan menunaikan solat hajat agar
Abdul Hadi selamat menjalani rawatan intensif berkenaan.
0 comments:
Post a Comment