PUTRAJAYA: Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN2015) pada
Rabu kecoh selepas pelawak Mat Over menampar produser filem David Teo di depan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Insiden itu berlaku ketika majlis dialog berlangsung apabila David
dilihat mahu memberi pendapatnya dan pengacara Datuk Rosyam Nor membuka ruang
kepada produser itu selama satu minit.
David dikatakan tidak berpuas hati cara Rosyam mengendalikan majlis
sebagai moderator.
Berlaku sedikit ketegangan antara David dan Rosyam yang cuba
mengawal keadaan sehinggalah pelawak Mat Over atau Sulaiman Yassin muncul lalu
menampar muka David.
Dalam video yang menjadi tular di laman sosial itu, kedengaran
suara Mat Over yang tidak berpuas hati terhadap sikap David itu kerana bercakap
kurang sopan di hadapan Najib sebelum menamparnya.
Situasi itu mengejutkan hadirin yang hadir sebelum ia ditenteramkan
oleh orang ramai.
Majlis dialog kemudian diteruskan seperti biasa.
Sesi berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Perdana Ummah dan diadakan
di kediaman Najib di Putrajaya.
Dianggarkan kira-kira 300 penggiat seni daripada pelbagai latar
belakang termasuk pemimpin persatuan menghadirinya.
Bagaimanapun pada akhir sesi, Rosyam memanggil Mat Over dan David
di pentas untuk meminta maaf dan mereka bersalaman.
Kedua-duanya turut berbuat demikian kepada Najib.
-
sumber
0 comments:
Post a Comment