Ampang:
Walaupun sarat hamil sembilan bulan, seorang ibu muda sempat mengambil
dadah untuk melepaskan gian ketika menunggu hari bersalin sebelum
ditahan dalam satu operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jumaat
lalu.
Dalam operasi ‘Ops Target’ Siri 4 yang
dijalankan di sekitar Ampang Jaya bermula jam 8 malam itu, wanita
berusia awal 20-an itu ditahan bersama suaminya selepas didapati
mengambil syabu di rumah mereka. Lebih memeranjatkan apabila
pasangan suami isteri itu dengan selamba mengaku mengambil dadah sekadar
suka-suka dan perasaan ingin tahu rasa dadah.
Wanita bersama
pasangannya yang turut berusia awal 20-an itu mengaku bakal melahirkan
anak pertama mereka dijadualkan Khamis ini.
Ketika ditahan,
pasangan terbabit dilihat langsung tidak menghiraukan keselamatan
kandungan yang mungkin terjejas akibat pengambilan dadah itu.
Sementara
itu, Ketua Pegawai AADK Ampang Hasnina Ibrahim berkata, dalam operasi
sama, 22 individu ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar
Ampang Jaya.
Menurutnya, antara yang ditahan individu berusia 16
tahun hingga 24 tahun dan semua dibawa ke pejabat AADK Ampang untuk
tindakan selanjutnya.
“Hasil ujian saringan mendapati semua individu yang ditahan positif dadah syabu dan ganja,” katanya.
Menurutnya, mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.
0 comments:
Post a Comment