Rakyat diminta memberi peluang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berehat dan bercuti di luar negara walaupun negara ketika ini menghadapi bencana banjir di pantai timur, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan perdana menteri itu berkata, tidak perlu mempertikaikan Najib yang kini dilaporkan bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama kerana beliau sebelum ini sudah bekerja kuat mentadbir negara.
"Bagi masa dia rehat, dia sudah bekerja terlalu keras. Dia cuma manusia biasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Krismas di Full Gospel Tabernacle di Subang Jaya, hari ini.
Katanya, kini beliau bertanggungjawab sepenuhnya mentadbir negara sepanjang pemergian Najib ke luar negara dan memberi jaminan akan menangani isu banjir dengan baik.
"Percaya kepada saya. Jangan bimbang perdana menteri yang di luar negara, risau apa yang berlaku di sini.
"Saya bagi jaminan saya bekerja rapat dengan semua agensi terlibat. Saya jalankan tugas memegang kuasa sebagai perdana menteri. Jadi, jangan bimbang," katanya.
Ditanya sama ada Najib perlu segera pulang ke tanah air, Muhyiddin berkata perkara itu tidak perlu kerana beliau yakin mampu menangani isu negara buat masa ini.
"Kalau saya tidak boleh atasi, baru saya panggil Najib pulang," katanya berseloroh.
The Washington Post melaporkan Obama menghabiskan masa cuti Krismas bersama rakan-rakan termasuk Najib bermain golf di pengkalan Marine Corps, Kanehoe Bay, Hawaii.
Laporan serta beberapa keping gambar yang menunjukkan Najib memakai baju-T berwarna merah jambu dan kelihatan gembira bermain golf menyebabkan kebanyakan rakyat memberi reaksi terkejut dan kecewa dengan perkembangan itu ketika negara sedang dilanda musibah.
Sementara itu, Muhyiddin berkata tiada keperluan Putrajaya mengumumkan darurat di Kelantan kerana usaha menyelamat perlu diutamakan terlebih dulu.
Beliau berkata, pihaknya perlu meneliti beberapa kriteria terlebih dulu sebelum membuat keputusan mengisytiharkan kawasan yang paling terjejas akibat banjir.
"Ada beberapa kriteria menjadi penentu sebelum diisytihar darurat. Contohnya, keseluruhan negeri lumpuh. Yang penting bukan hendak isytihar darurat, tetapi langkah menyelamat," katanya.
Ahli parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua terdahulu hari ini berkata, Putrajaya perlu menggembleng semua sumber yang ada bagi mengurangkan keadaan banjir yang dianggap terburuk dalam sejarah negara ini, termasuk mengisytiharkan keadaan darurat jika perlu.
Muhyiddin turut menasihati orang ramai tidak mudah percaya dengan khabar angin yang disebarkan melalui media sosial termasuk aplikasi Whatsapp mengenai keadaan terkini banjir.
Katanya, cara itu hanya akan menimbulkan panik dan menambahkan kesukaran rakyat serta penduduk yang terjejas akibat banjir.
Sebaliknya, beliau menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi saja.
Mengenai sambutan ambang Tahun Baru, beliau berkata, Putrajaya tidak akan menganjurkan sebarang sambutan peringkat nasional pada 31 Disember nanti.
"Saya tidak tahu tentang pihak swasta. Saya serah kepada kebijaksanaan mereka. Peringkat nasional, sehingga kini, kita tidak ada sambutan itu," katanya.
0 comments:
Post a Comment