Alamak!!! PM Haji Najib Dikritik Hebat Kerana Menghabiskan Masa Bermain Golf Bersama Presiden Amerika Di Hawaii.. Ini Jawabnya!!!


Dikritik hebat kerana menghabiskan masa bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii ketika Malaysia dilanda banjir teruk, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sudah menghubungi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara bagi membincangkan perkara itu.

Perdana menteri berkata beliau meminta timbalannya mempertingkatkan lagi usaha membantu mangsa banjir terutama di kawasan yang terjejas teruk dan berisiko tinggi.

“Saya meminta timbalan perdana menteri mempertingkatkan lagi operasi penghantaran bantuan berupa makanan berikutan wujudnya kesukaran untuk sampai ke kawasan banjir tertentu," katanya dalam status akaun Facebooknya petang ini.
Katanya, beliau percaya dan yakin pasukan penyelamat negara yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan anggota sukarelawan sedang bertungkus lumus memberikan bantuan terbaik termasuk mencari ikhtiar bagi memastikan mereka sampai ke lokasi pemindahan yang sukar.
"Apa pun, kerajaan akan memastikan segala usaha dilakukan bagi membantu semua mangsa menghadapi banjir yang begitu mencabar pada tahun ini," katanya.
The Washington Post melaporkan hari ini, Datuk Seri Najib Razak sedang bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang sedang menghabiskan cuti Krismas di pengkalan Marine Corps, Kanehoe Bay, Hawaii bersama rakan dan keluarga termasuk Joe Paulsen dan Mike Brush.
Terdahulu malam tadi, Najib menulis di akaun Facebooknya:"Dengan keadaan banjir yang semakin buruk, segala agensi dan jentera kerajaan dikerahkan bagi mengendalikan urusan banjir dengan berkesan.
"Saya mahu agensi dan jabatan kerajaan melaksanakan segala perancangan yang disusun dan ditetapkan bagi membantu mangsa banjir agar kebajikan mereka terpelihara."
Ia menerima respon hampir 2,000 pengguna Facebook dengan majoritinya menggesa beliau pulang ke tanah air bagi mengetuai operasi memberi bantuan kepada mangsa banjir yang setakat pagi ini lebih 90,000 orang terpaksa berpindah ke pusat penempatan, terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Najib dalam kenyataannya petang ini berkata, beliau dimaklumkan antara punca utama kesukaran dalam usaha memindahkan mangsa banjir dan penghantaran barang makanan di sesetengah tempat ialah paras air yang sangat tinggi.
Faktor lain ialah arus deras yang merbahaya untuk kenderaan dan bot penyelamat serta terdapat juga pusat pemindahan mangsa banjir yang turut ditenggelami air.
"Saya juga diberitahu, usaha penghantaran bantuan menerusi helikopter terganggu berikutan cuaca buruk yang menyukarkan penerbangan dilakukan. 
"Terdapat juga di kawasan tertentu helikopter tidak dapat mendarat untuk menurunkan bantuan berikutan tiada lokasi sesuai berhampiran pusat pemindahan," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, beliau yakin dengan kemampuan pasukan penyelamat negara menjalankan tugas mereka dengan cara yang terbaik.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.