SHAH ALAM – Seorang kanak-kanak perempuan mati selepas terjatuh ke dalam kolam renang di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, di Seksyen 7, di sini, jam 4 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, Amanda Dany Shah, 7, bersama ibu bapanya, pergi ke majlis di situ untuk membekal makanan sebagai pengusaha katering, sempena majlis Tahun Baharu Cina.
“Sedang ibu bapa mangsa sibuk menyediakan makanan bersama pekerja lain, mangsa tiba-tiba dikatakan hilang.
“Pengunjung di situ menyedari kejadian itu dan cuba menyelamatkan mangsa,” katanya.
Azisman berkata, selepas diselamatkan orang awam, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah dengan ambulans.
Menurutnya, mangsa kritikal dan disahkan oleh doktor meninggal dunia kira-kira jam 7 malam.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
Beberapa jam selepas kejadian tragis itu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menulis di Twitter mengucapkan takziah kepada ibu Amanda, Rini Sutari.
"Takziah Kepada Puan Rini Sutari & Keluarga, katerer Majlis Tahun Baru Cina PEKAWANIS, atas kehilangan puteri Amanda Dany Shah. Al- Fatihah," Khalid menulis.
Setiausaha akhbar Khalid Arfa'eza Aziz berkata beliau menghadiri majlis di Kuala Selangor pada masa kejadian itu.
"Terdapat kira-kira 400 tetamu di rumah terbuka yang diadakan di dewan di tingkat bawah kediaman," katanya ketika dihubungi.
0 comments:
Post a Comment