SEDIHNYA!!! (Gambar) Murid Tahun 6 Mati Terjerut Tali Kabel Komputer..


KUALA KRAI – “Pagi tadi adik beritahu saya dia baru belajar buat jerat ayam, namun saya tidak menyangka tidak lama selepas itu menemuinya dalam keadaan  tergantung dengan lehernya terjerut.”

Demikian kata Nor Amira Idayu Yusuf, 15, kakak kepada Muhammad Idham, 12, yang ditemui dalam keadaan leher terjerut pada kabel komputer  yang diikat pada tiang bumbung dapur rumah,  kira-kira jam 9.15 pagi hari ini.

Difahamkan  sebelum kejadian berlaku, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bedal itu berhasrat menggunakan tali itu untuk menjerat ayam peliharaan di sekitar rumahnya.

Amira berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu bersama kakak dan adik bongsunya,  Nor Atikah, 18, dan Muhammad Aidil, 6,  selain neneknya, Imah Mamat, 87,  sementara ibunya  Siah Che Soh, 51, dan bapanya Yusuf Mamat,62, keluar menoreh getah di kebun terletak kira-kira lima kilometer dari rumah mereka.

“Ketika menuju ke dapur saya terkejut mendapati adik dalam keadaan tergantung di tali dan terdapat kerusi di sebelahnya, saya tergamam dan terus memberitahu keluarga yang berada di ruang tamu dan menghubungi pegawai perubatan, mereka mengesahkan adik saya tiada lagi,” katanya yang mempunyai 12 adik-beradik.

Amira berkata, sebelum kejadian, dia sempat bersembang seketika dengan Muhammad Idham yang baru bangun tidur di bahagian hadapan rumah mereka dan mangsa memaklumkan kepadanya dia baru sahaja mempelajari cara menjerat ayam.

Menurutnya, dia tidak mengesyaki  apa-apa walaupun mengetahui adiknya tidak suka melakukan sebarang aktiviti melibatkan haiwan apatah lagi menjerat ayam.

Bagaimanapun katanya, Amira mengakui adiknya menunjukkan beberapa perubahan tetapi dia tidak mengambil kisah di sebalik perangai pelik Muhammad Idham dan hanya menganggap itu perkara biasa.

 “Kebiasaannya adik marah jika ahli keluarga keluar rumah tanpa membawa dia bersama-sama, tetapi akhir-akhir ini dia buat tidak kisah.

“Adik juga berubah menjadi pendiam, dia tidak suka marah-marah, kebiasaannya jika ada perkara yang tidak kena pada dia, pasti adik marah, tetapi dia nampak lebih tenang sejak kebelakangan ini.

“Adik suka menyakat saya, boleh dikatakan selalu dia buat begitu, tetapi kami agak rapat, itu memang sudah menjadi kebiasaannya menyakat saya.

“Selepas ini, tidak ada lagi orang yang akan menyakat saya, yang tinggal hanya kenangan,” katanya yang tidak dapat menahan sebak menceritakan detik-detik dilalui bersama arwah.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Nuruddin Wahab berkata, siasatan awal mendapati mangsa terjerut diri sendiri.

“Kita juga sahkan, mangsa tiada masalah dengan keluarga,” katanya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Kuala Krai untuk siasatan lanjut dan dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bedal.

1 comments:

  1. Al-Fatihah untuk arwah Mohd Idham.Ucapan takziah bagi keluarga Allahyarham.Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.