BESUT– Dua individu termasuk seorang wanita ditangkap kerana tidak berpuasa dan makan secara terbuka di tempat awam pada bulan Ramadan serta menjual makanan kepada orang Islam tidak berpuasa, kelmarin.
Pegawai Agama Daerah, Azmi Tengah berkata, ibu tunggal berusia 40-an itu diberkas di rumahnya di Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut oleh sepasukan anggota Penguat kuasa Syariah Pejabat Agama Daerah Besut setelah mendapat maklumat orang awam.
Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 11.30 pagi itu, wanita terbabit dipercayai sedang menjual nasi bungkus kepada beberapa pelanggan di rumahnya.
“Bagaimanapun, penguat kuasa gagal memberkas pelanggan yang melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa, sementara wanita terbabit ditangkap dan sebanyak 10 bungkus nasi turut dirampas," katanya.
Menurut Azmi, pihaknya telah melakukan intipan selama beberapa hari sebelum menyerbu rumah wanita terbabit.
Katanya, wanita berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 19(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syarie (takzir) negeri Terengganu kerana tidak menghormati bulan puasa (menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa).
Sementara itu katanya, dalam operasi yang turut disertai Penguat kuasa Majlis Daerah Besut itu, pihaknya menahan seorang lelaki beragama Islam berusia 56 tahun di dalam sebuah kedai milik lelaki bukan Islam pada jam 10 pagi, hari yang sama.
“Lelaki terbabit ditahan selepas anggota penguat kuasa yang menyerbu kedai tersebut mendapati dia menghisap rokok di situ dan akan didakwa di bawah Seksyen 19 (b) enakmen yang sama kerana tidak berpuasa,” katanya.
Azmi berkata, tangkapan tersebut yang pertama sepanjang Ramadan ini dan pihaknya akan melakukan pemeriksaan serta pemantauan secara berterusan bagi menjaga kesucian Islam.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 10 premis membabitkan premis perniagaan dan rumah termasuk sebuah rumah di Kampung Pangkalan Sentul, Jertih diperiksa.
-SinarHarian
0 comments:
Post a Comment