Hangat!!! Apa Cerita Kolej Universiti Insaniah (KUIN) hinggakan Perlu Libatkan KDYMM Seri Paduka Yang DiPertuan Agung? Jom Terjah!!!


ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk MahfuzOmar menegaskan pihaknya bersama kakitangan Insaniah Holding bercadang mengadap Yang DiPertuan Agong jika Menteri BesarKedah, Datuk Mukhriz Mahathir gagal menyelesaikan isu pembayaran gaji kakitangan syarikat berkenaan. 

Bercakap pada sidang media di Markas PAS Pokok Sena, beliau melahirkan kekesalan terhadap tindakan kerajaan negeri yang telah membekukan gaji kakitangan Insaniah Holding sejak Mei sehingga lalu.

"Kita teramat kesal dengan tindakan berkenaan, apatah lagi di saat menjelangnya Aidil Fitri. Bagaimana mereka hendak meneruskan kehidupan setelah hak mereka dinafikan sejak bulan Mei lalu.

"Tiga bulan tidak diberi gaji, mereka mengalami tekanan hidup,untuk membayar sewa rumah, insuran bulanan kereta,persekolahan anak-anak, makan minum dan 
lain-lain keperluan," ujar beliau kesal

Tambah beliau lagi, pihaknya  telah menghantar makluman kepada Menteri Besar Kedah melalui Ketua Pembangkang, Datuk Amiruddin Hamzah untuk mengadakan temujanji menyelesaikan masalah ini tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas daripada beliau. 

Menurutnya, situasi dihadapi oleh kakitangan Insaniah Holding ketika ini tidak menentu dan dua isu pokok yang harus dilihat kerajaan negeri khususnya oleh Menteri Besar ialah mengenai status mereka dan tunggakan gaji tiga bulan tersebut.

"Walaupun dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, Mukhriz menegaskan, perpindahan pelajar Mualamat ke Mergong adalah atas nama kebajikan kepada pelajar- pelajar, selain mengambil kira masalah tenaga pengajar yang terpaksa berulang alik dari Alor Setar ke Kuala Ketil, tetapi mengapa dalam soal kebajikan kakitangan Insaniah Holding dikesampingkan?

"Nasib 268 orang ini, perlu diselesaikan secepat mungkin. Bagaimana kedudukan dan status mereka. Apa yang mereka hadapi, tidak dibayar gaji tetapi tiada sebarang surat pemecatan yang dikeluarkan," sambungnya lagi.

Mahfuz juga berkata, adalah tidak wajar jika kerajaan negeri enggan menyelesaikan bayaran gaji tertunggak tersebut yang dianggar sebanyak RM2,000,750 sedangkan kebajikan dan hak mereka sebagai pekerja adalah tanggungjawab majikan.

"Walau pun Insaniah Holding ditubuhkan semasa pemerintahan Pakatan Rakyat dahulu, tetapi ianya mengikut prosedur perundangan dan perjanjian yang sah. Insaniah Holding bukan ditubuhkan atas dasar politik.

"Apabila Kedah diambil alih oleh BN, agenda yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum itu perlu diteruskan, seperti mana dahulu kita meneruskan semua agenda yang telah ditetapkan oleh mereka. Malah hutang yang mereka tinggalkan pun kita langsaikan. Kenapa kita tak 'cuci tangan' kerana itu bukan hutang kita?" soal Mahfuz. 

Harapan beliau agar kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin iaitu sama sepertimana kakitangan kerajaan menerima bonus hari raya sekaligus nasib mereka ini juga dapat pembelaan pada waktu yang sama. 

"Jangan pula nanti, mereka semua berpakat berkhemah di hadapan rumah Menteri Besar kerana tiada penginapan kerana dihalau dari rumah sewa akibat gagal membayarnya," ujarnya.

Sementara itu, wakil dari Insaniah Holding, CEO Insan Sistem, Ir Mansur Mahmud, juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan negeri terhadap mereka. 

Beliau berharap kerajaan negeri perlu mengenang kembali jasa-jasa Insaniah Holding kepada pembangunan Kolej Universiti Insaniah (KUIN). 

"Insaniah Holding banyak membantu dalam soal pembangunan KUIN di Kuala Ketil serta membantu mengendalikan asrama dan kebajikan pelajar.

"Kita dah minta MB datang jumpa kami tapi bukan saja MB tak datang, wakilnya pun tak ada. Bagi saya sebahagian yang tunjuk hero membela KUIN kononnya, sebenarnya hanya mempunyai kepentingan peribadi.

"MB patut tengok masalah kami, jangan ada dendam kesumat. Kakitangan Insaniah Holding adalah 'free political', bukannya hanya memihak pada satu-satu parti sahaja," katanya yang juga merupakan Pengerusi Badan Bertindak masalah berkenaan. 

Sementara itu, Pengawai Operasi Insaniah Holding, Aidi Ahmad menegaskan, mereka telah mengadakan pertemuan dengan Exco Pendidikan Negeri, Dato' Tajul Urus Mat Zin tetapi sehingga kini tiada sebarang jawapan atau tindakan yang diambil.

Maklum beliau, pada akhir bulan Jun lalu, dua kali surat permohonan dihantar kepada Menteri Besar untuk mengadakan perjumpaan, namun sehingga kini tiada sebarang jawapan. 

Selain itu Mahfuz juga memberitahu, memo kepada Yang diPertuan Agong juga telah diserahkan kepada istana.

Turut serta pada sidangmedia tersebut kira-kira 200 orang kakitangan dan keluarga Insaniah Holding.

Dalam pada itu, Mahfuz turut menyampaikan sumbangan  peribadi duit raya kepada anak-anak kakitangan berkenaan. 

Turut hadir bersama, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Senator Datuk Muhamad Yusuf Husin dan Adun Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.