RM31,000 kos bahan api diguna Anwar
Jet bernombor pendaftaran N990BB (Sumber http://www.airliners.net)
 
SHAH ALAM – Sebanyak RM31,000 dibelanjakan untuk kos bahan api bagi penerbangan pergi balik rombongan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Labuan dan Sabah baru-baru ini.

Pengerusi Tjets Sdn Bhd, Datuk Mohamad Taufik Omar bagaimanapun enggan mendedahkan kos lain termasuk harga sewa pesawat penerbangan pergi balik selama empat jam itu.


Malah beliau juga enggan menjelaskan sama ada jet peribadi jenis Dassault Falcon 900 itu disewa atau dipinjamkan kepada Anwar.


"Ini jet peribadi, dan apabila disebut jet peribadi, ada perkara tertentu yang tidak perlu, tidak sewajarnya untuk kita hebahkan kepada pengetahuan umum," katanya semalam.


Mohamad Taufik berkata, ketika tempahan dibuat, beliau sendiri pun tidak tahu bahawa rombongan Anwar yang akan menggunakan pesawat itu kerana pemilik pesawat hanya beritahu, "ada orang mahu guna".

 


"Syarikat saya hanya uruskan pesawat dari segi penyenggaraan, minyak dan sebagainya. Apabila pemilik pesawat beritahu ada pihak mahu sewa atau mahu guna, kami akan siapkan segala keperluan penerbangan. Oleh kerana ini pesawat peribadi, segala yang berkaitan juga adalah peribadi. Kami profesional dalam memberi perkhidmatan," katanya.


Menurutnya, beliau tidak anggap penggunaan pesawat yang diuruskan syarikatnya itu oleh rombongan Anwar wajar jadi isu besar.


Kunjungan Ketua Pembangkang dan rombongannya ke Labuan dan Sabah menggunakan pesawat peribadi baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas gambar mereka di dalam pesawat itu dimuat naik dalam internet.


Ia membangkitkan persoalan mengenai gaya hidup mewah pemimpin pembangkang yang bertentangan sama sekali dengan retorik mereka ketika berhadapan dengan rakyat.


Perkara itu sekali lagi menimbulkan tanda tanya apabila dua Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua beri kenyataan berbeza tentang penggunaan pesawat itu. Nurul Izzah mengatakan pesawat itu dipinjam, sebaliknya Tian Chua berkata, ia disewa.


Anwar sendiri pada sidang media di Parlimen, Isnin lalu menjelaskan, pesawat peribadi itu bukan miliknya tetapi ditaja oleh seorang kenalan.


Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menjelaskan bahawa jet itu berpangkalan di Kuala Lumpur dan berdaftar dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dengan nombor pendaftaran N990BB.