Inilah Masanya: Karnival Jom Pi Muzium Padi Bermula Esok : Pelbagai Acara Diadakan.. Jom Terjah!!!

E-mail
ALOR SETAR – Muzium Padi Negeri Kedah akan menganjurkan Karnival Jom Pi Muzium Padi 2012 yang akan diadakan di Perkarangan Muzium Padi, Gunung Keriang, di sini pada 27 September hingga 6 Oktober 2012.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri berkata, penganjuran karnival itu turut diadakan dengan kerjasama Tunas Indah Niaga Enterprise.

“Objektif utama penganjuran karnival itu diadakan adalah untuk menarik ramai pengunjung untuk datang ke Muzium Padi di samping mendekatkan orang ramai dengan Muzium Padi,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada Sidang Media sempena Karnival Jom Pi Muzium Padi 2012 di Muzium Negeri Kedah, di sini.

Menurutnya, adalah menjadi hasrat pihaknya untuk mempromosikan Muzium Padi sebagai salah satu produk pelancongan di negeri ini.

“Karnival yang diadakan selama sepuluh hari itu tidak tertumpu kepada rakyat dari negeri Kedah sahaja tetapi rakyat dari negeri-negeri lain juga boleh mengunjungi karnival ini,” katanya.

Beliau memberitahu, penganjuran karnival itu juga turut memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil serta usahawan-usahawan untuk terlibat sama dalam menjayakan karnival berkenaan.

“Kita menyediakan 80 lot gerai jualan untuk memudahkan peniaga-peniaga serta usahawan-usahawan untuk menjalankan perniagaan pada sepanjang karnival itu berlangsung,” katanya.

Di samping itu, ujarnya, pameran dan jualan daripada agensi-agensi kerajaan juga turut diadakan bersempena karnival itu yang melibatkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Jabatan Penjara, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kraftangan Malaysia Cawangan Kedah.

“Kita juga turut mengadakan pertandingan marhaban, gendang silat dan pertandingan memancing ikan puyu di samping Larian Bendang, Bola Sepak Bendang, Iron Man Bendang dan Polo Bendang,” katanya.

Beliau menjelaskan, persembahan pentas serta Forum Perdana turut diadakan di samping cabutan bertuah berupa seekor lembu, seekor kambing, seekor ayam, seekor itik serta barangan elektrik.

Tambahnya, karnival selama sepuluh hari itu diadakan dari jam 9 pagi hingga 11 malam.

Suhaidi berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Persatuan Wau Negeri Kedah untuk mengadakan pameran dan bengkel mengenai proses pembuatan wau di samping gerai jualan wau sempena karnival berkenaan.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung karnival itu, bolehlah menghubungi 013-4260203 (Zaini) atau 013-4405410 (Nazri) atau 019-4664433 atau 04-5792533.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Unit Muzium Padi, Mohd Zahari Saud; Pengurus Besar Tunas Indah Niaga Enterprise, Tuan Zaini Haji Abu Hassan dan Pengurus Kanan Tunas Indah Niaga Enterprise, Drs. Nazri Abdullah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.