SHAH ALAM: Pengacara dan pelakon, Jimmy Shanley akan terus berusaha untuk berbaik semula dengan isterinya demi anak sulung mereka, Zahrah Shanley yang berusia sembilan bulan.
Jimmy berkata, semua perkara yang dilakukannya termasuk “naik turun” mahkamah adalah demi anaknya itu dan masih berharap isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy akan kembali taat kepadanya.
"Sudah tentu saya masih sayangkan isteri saya dan apa yang saya lakukan ini adalah semata-mata untuk kebahagiaan kami.
"Paling penting adalah untuk Zahrah, anak kami," ujarnya kepada mStar Online.
Jimmy ditemui selepas selesai prosiding di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Isnin.
Dalam pada itu, Jimmy berkata dia telah cuba untuk menyelesaikan kes mereka di luar mahkamah tetapi gagal kerana keengganan isterinya berbuat demikian.
Katanya, dia tidak mempunyai pilihan selain meneruskan prosiding di mahkamah.
"Ikutkan hati biarlah kemelut rumah tangga kami menjadi rahsia di antara kami tetapi cara untuk diselesaikan secara baik nampaknya tidak menunjukkan hasil," katanya.
Bercakap mengenai kesnya yang mendapat perhatian dengan pelbagai pendedahan, kata Jimmy, ia adalah harga yang perlu dibayar olehnya kerana bergelar seorang selebriti.
Sementara itu, Jimmy enggan mengulas mengenai anaknya dan memberitahu telah menyerahkan kepada mahkamah selepas isterinya itu membuat tuntutan hadanah (tuntutan hak penjagaan anak).
Ujarnya, dia tidak mahu memburukkan lagi keadaan dengan pelbagai kenyataan mengenai soal anak.
Pada prosiding yang diadakan Isnin, Jimmy mengaku pernah menampar isterinya semasa bercuti untuk berbulan madu di Koh Samui, Thailand selepas beberapa hari mendirikan rumah tangga.
Nursuhaila yang turut hadir pada sesi berkenaan turut memberitahu mahkamah sudah tawar hati terhadap suaminya itu.
Pasangan tersebut bernikah pada 1 Oktober 2010 dengan wang hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986.
Perkahwinan mereka mendatangkan masalah sehingga Jimmy memfailkan perintah kembali taat terhadap isterinya pada 3 Januari 2011 diikuti permohonan nusyuz pada 27 Januari tahun yang sama.
Mstar
0 comments:
Post a Comment