Terkini!!! Benarkah Polis Bakal Keluarkan Rakaman Video BERSIH 2.0 Ini Di RTM?






KUALA LUMPUR, 19 Julai — Tan Sri Ismail Omar mengumumkan polis hampir melengkapkan siasatan berhubung dakwaan mengenai pendekatan keras pihaknya ketika menangani perhimpunan Bersih 2.0 dan penemuan akan diumumkan kepada orang ramai.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara (gambar) mahu orang ramai tidak membuat spekulasi ataupun tanggapan mengenai insiden-insiden yang dilaporkan ketika perhimpunan tempoh hari di ibu negara.

“Saya sangat yakin laporan akan lengkap tidak lama lagi dan saya akan memanggil anda (organisasi media) ke sidang video. Kami akan menunjukkan video di sini bagi anda melihat,” katanya.


“Kami tidak mahu menyembunyikan apa-apa sebab orang ramai ada hak untuk mengetahui,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat polis di Bukit Aman petang ini.

Awalnya, Ismail tidak mahu kenyataan beliau direkodkan tetapi kemudian bercakap kepada pemberita atas permintaan mereka mengenai perkara tersebut.

Ismail memberi jaminan bahawa polis akan cuba sedaya upaya mereka untuk memastikan tiada aspek yang disembunyikan ketika siasatan.

Malah Ismail juga berkata, enam jawatankuasa yang telah ditubuhkan akan menyiasat kesemua aspek mengenai perhimpunan 9 Julai termasuk temu bual dengan pegawai-pegawai polis yang bertugas pada hari tersebut, menemu bual orang ramai dan saksi, penelitian secara mendalam berkenaan kesemua gambar dan video yang diambil.

Sehubungan itu, Ismail menggesa orang ramai tampil dengan maklumat jika ada untuk membantu siasatan.

“Saya menggesa orang ramai, jika mereka ada gambar, video daripada kamera atau telefon bimbit... serahkan kepada polis, jadi kita boleh kaji dan menilai setiap yang berlaku untuk membuat rumusan kami,” katanya.

Menurut Ismail, pihaknya telah memulakan siasatan minggu lalu dan bekerja sepanjang masa untuk melengkapkan hasil siasatan.

Mereka yang mempunyai maklumat termasuk gambar dan video tentang perhimpunan Bersih 2.0 boleh die-mel ke alamat pusatmediapdrm@rmp.gov.my atau menghubungi polis menerusi talian 03-22668321 atau 03-22668320.

Selain polis, Kementerian Kesihatan juga menyiasat dakwaan bahawa pihak polis menyasarkan pekarangan Hospital Tung Shin ketika melepaskan gas pemedih mata dan air berasid dalam menyuraikan perhimpunan 9 Julai.

Seorang peserta juga meninggal dunia selepas pengsan ketika melarikan diri daripada tindakan polis di kawasan KLCC. Baharuddin Ahmad meninggal dunia di hospital.

Malaysia Insider

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.