APABILA memperkatakan tentang penyanyi lelaki yang seorang ini, dia memang cukup berahsia tentang hal peribadinya terutama kisah cinta.
Baginya ia adalah sesuatu yang cukup sulit untuk diceritakan dan dikongsikan bersama masyarakat melainkan apabila dia benar-benar bersedia untuk mendedahkannya.
Begitu juga dengan kisah perkahwinan. Tanyalah kepada tuan punya badan, jawapannya akan tetap sama. Tidak akan berganjak sedikit pun.
Namun, entah mengapa, pada malam Jumaat lalu Anuar Zain begitu terbuka untuk menceritakan kisah peribadi tentang cintanya yang terputus di pertengahan jalan.
"Saya pernah menjalinkan hubungan dengan seorang gadis sekitar tahun 2000. Ketika itu saya berusia 25 tahun manakala dia pula 19 tahun. Semuanya berjalan dengan baik sehinggakan dia sendiri menyuarakan kesediaannya untuk menjadi isteri saya.
"Tetapi, ketika itu saya belum bersedia kerana karier baru bermula. Dia faham dan tidak kisah untuk menunggu saya sehingga usianya mencecah 25 tahun.
"Namun akhirnya, dia meninggalkan saya dan berkahwin dengan orang lain. Sesungguhnya ia sesuatu yang cukup menyedihkan saya," kata Anuar sebelum menyampaikan lagu Kembalilah Kasih yang merupakan kisah sebenar pengalaman cintanya itu.
Kerana penghayatan yang cukup mendalam sewaktu mendendangkan lagu balada indah itu, secara tiba-tiba, suara Anuar tersekat-sekat menahan air matanya daripada mengalir.
Melihatkan reaksi Anuar itu, secara spontan seorang peminat perempuan tampil ke pentas dan menyerahkan tisu untuk Anuar mengelap air matanya.
"Atas alasan itu, saya memang jarang menyanyikan lagu Kembalilah Kasih ini kerana ia benar-benar menusuk kalbu dan menyentuh hati saya.
"Cuma, malam ini saya sengaja mahu menyanyikannya demi peminat yang saya tahu ada di antara mereka yang turut menggemari lagu ini," jelas Anuar dalam persembahan Up Close and Personal With Anuar Zain yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Persembahan eksklusif Anuar itu adalah sebahagian daripada acara yang tersenarai dalamFestival Kuala Lumpur 2011 yang berlangsung sepanjang bulan Julai ini.
Sebelum menyampaikan lagu Kembalilah Kasih, Anuar membuka tirai persembahan pada malam itu dengan lagu Ku Berjanji Karna Cinta dan Kau Bunga Cintaku.
Biarpun bermula lewat setengah jam daripada waktu asalnya iaitu 9.30 malam, namun peminat setia Anuar yang memenuhi setiap ruang Mega View Banquet Hall tidak langsung berganjak dan menunggu dengan penuh setia.
Seperti mana persembahan Anuar sebelum ini, memang tidak sah dan bagaikan satu 'kesalahan' seandainya jejaka pujaan wanita itu tidak turun dari pentas dan beramah mesra dengan peminatnya.
Umpama gula yang dihurung semut, pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini tetap menjadi tumpuan lensa kamera peminatnya yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengannya.
Sehinggakan ada sekelompok peminat yang sudah mengeluh dan menjerit meluahkan rasa tidak puas hati mereka apabila Anuar tidak datang ke meja mereka.
Memang sukar menjadi figura popular seperti Anuar. Apatah lagi adanya peminat fanatik yang terlalu gilakannya, mahu atau tidak, Anuar harus memenuhi kehendak setiap seorang daripada mereka yang telah mengeluarkan belanja yang bukan sedikit untuk menonton persembahannya.
Bayangkan harga-harga tiket untuk menyaksikan persembahan Up Close and Personal With Anuar Zain itu memang bukan calang-calang harga apabila semuanya bermula dari RM500 hingga RM1,300 seorang.
Tidak mahu menghampakan peminat yang terus mendambakan lagu balada popularnya, Anuar yang tampil dengan sut serba hitam itu turut menyampaikan lagu Ketulusan Hati.
Bagi memberi kelainan untuk persembahannya itu, bekas pramugara Penerbangan Malaysia itu turut menyampaikan dua buah lagu malar segar, Epilog Cinta Dari Bromley dan Tiada Maaf Bagimu yang diberi susunan muzik baru.
Sungguh syahdu dan bagaikan terleka sebentar mendengar alunan indah Anuar menerusi dua lagu itu yang merupakan antara dua buah lagu klasik yang menjadi kegemaran Anuar.
Tidak ketinggalan, penyandang gelaran Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik dua kali ini turut menyanyikan lagu klasik, Cry Me A River sebelum memilih lagu Suria & Siarra danSedetik Lebih untuk repertoire seterusnya.
Dengan rangkaian lagu-lagu popularnya, ternyata sukar juga untuk Anuar membuat pilihan bagi memenuhi cita rasa setiap peminatnya.
Sehinggakan dia sendiri menyerahkan kepada peminatnya untuk memilih di antara laguPerpisahan dan Lelaki Ini sebelum menyampaikan sebagai lagu penutup.
Diukur kepada kekuatan sorakan peminat, nampaknya keputusan berpihak kepada laguPerpisahan yang merupakan lagu tema filem Cinta.
Kepuasan Anuar
BERTEMU dengan Anuar dalam satu pertemuan singkat usai persembahan itu, memang terpancar riak kepuasan di wajahnya.
Jelas penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Keabadian Cinta dan Musim Berlalu itu, semangat dan aura penonton pada malam itu banyak membantunya untuk mempersembahkan yang terbaik.
"Seronok melihat mereka gembira dan teruja dengan persembahan saya. Memang saya tidak nafikan mereka antara audiens terbaik yang pernah saya hiburkan," jelas adik kepada penyanyi wanita popular, Ziana Zain ini jujur.
Perancangan album Anuar
Kalau duduk bersembang dengan penyanyi lelaki ternama negara ini, memang tidak sah kalau tidak ditanyakan tentang perkembangan album solo keempatnya.
Mana tidaknya, empat tahun sudah berlalu dan sehingga kini albumnya itu masih belum menampakkan bayangnya.
Mengenali Anuar, dia memang cukup cerewet dan seorang yang amat mementingkan kesempurnaan serta kualiti terbaik untuk setiap albumnya. Maka itu, tidak hairanlah apabila ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan.
"Album keempat saya memang sudah siap sepenuhnya tetapi saya tidak puas hati dengan proses adunan dan mastering album itu.
"Buat masa ini, saya dan pihak pengurusan sedang menilai semula album itu untuk meneliti masalahnya. Saya mengakui kos penerbitan album ini sudah meningkat sehingga boleh menerbitkan dua buah album lagi.
"Jika semuanya berjalan lancar, insya-Allah, ia akan dipasarkan sebelum penghujung tahun ini," kata Anuar.
Belum sempat album solo keempatnya dipasarkan, Anuar sudah pun mempunyai perancangan untuk lahir dengan album kelimanya.
Merupakan sebuah album tribute, jelas Anuar dia mahu merakamkan lagu-lagu popular dari seawal tahun 40-an sehinggalah tahun 80-an.
"Kalaulah lagu itu dirakamkan pada tahun 2005 sekali pun tetapi ia sebuah karya yang bagus, sudah pasti saya berminat untuk merakamkan kembali.
"Bagi saya, lagu Melayu cukup indah baik dari segi melodi dan liriknya. Tetapi, saya akan tetap mengekalkan keaslian lagu itu walaupun diberi susunan muzik baru.
"Dalam erti kata lain, ia adalah interpretasi saya untuk lagu-lagu itu yang lahir dari jiwa saya," ujar Anuar yang turut menggemari lagu-lagu seperti Berdiri Seorang Perindu (Ibnor Riza) danPenantian (kumpulan Harmoni).
0 comments:
Post a Comment