PETALING JAYA: Penyanyi Jamal Abdillah mengaku meletakkan harga tinggi untuk tampil dalam filem Azura 2011 bagi menjaga nilai eksklusif dirinya.
Bagaimanapun katanya, pihak produksi Ace Motion milik pengarah Aziz M. Osman tidak dapat memenuhi permintaan tersebut.
Menurut Jamal, sebagai seseorang yang sudah lama berkecimpung dalam industri seni, dia agak memilih dalam setiap tawaran yang diberikan kepadanya.
"Saya bukan menolak untuk berlakon dalam filem tersebut tapi mereka yang tidak dapat memenuhi permintaan dengan harga yang saya cadangkan.
"Saya tidak mahu perkara lama seperti ketika saya berlakon dalam filem Azura dahulu berulang kembali kerana saya merasakan pengorbanan saya tidak berbaloi.
"Walaupun filem tersebut popular dan dikenali tapi bayaran yang diberikan terlalu sedikit, lebih baik saya ambil tawaran menyanyi," ujarnya ketika sidang media Hari Ibu Bersama Jamal Abdillah, Rabu.
Jelasnya, bukan sahaja pada bidang lakonan, malah dia turut memilih setiap tawaran persembahan nyanyian yang diberikan kepadanya.
"Saya tidak mahu orang jemu melihat saya, oleh itu saya hanya buat persembahan untuk beberapa majlis yang saya rasa ia berbaloi dan mereka sanggup dengan harga yang saya tawarkan.
"Bagaimanapun jika sesuatu majlis itu ada kerjasama dengan pihak kerajaan atau sebagai persembahan amal, saya boleh mempertimbangkannya," kata Jamal yang bakal keluar dengan album terbarunya nanti.
Tambahnya seseorang artis itu perlu menjaga nilai eksklusif mereka agar tidak diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu.
Dalam pada itu, dia bakal membuat persembahan sempena sambutan Hari Ibu pada 17 Mei ini yang akan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC).
Persembahan kali kedua tersebut juga berikutan sambutan yang sangat menggalakkan daripada penonton tahun lalu.
Menurut Jamal, kali ini dia akan menjanjikan kelainan dari segi pemilihan lagu yang belum pernah dibawakan sebelum ini.
"Saya akan dendangkan lagu-lagu yang berlainan berbanding persembahan tahun lalu termasuklah lagu terbaru saya berjudul Bonda.
"Selain itu juga, saya sedang merancang beberapa gimik untuk penonton yang hadir, antaranya memanggil mereka untuk berduet lagu Sandarkan Pada Kenangan dan Kehebatan Cinta," katanya.
Ditanya tentang perkembangan peribadi, penyanyi lagu Seroja ini mengakui belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
"Saya ingin fokus kepada syarikat saya terlebih dahulu kemudian baru saya fikir untuk mencari pasangan.
"Lagi pula kedua-dua anak saya masih kecil dan susah untuk menjawab pertanyaan mereka. Biarlah mereka besar, baru saya fikir tentang itu," kata bapa kepada Osama Yamani, 11, dan Ahmad Zaki Yamani, 5.
0 comments:
Post a Comment