Suri rumah Salmah Saad, 47, (kiri) ketika ditemuramah wartawan selepas keluar dari bilik Unit Rawatan Kebakaran (Burn Unit) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas melihat dua anaknya Badrul Amin Zinol, 14, dan adiknya Amirul Hadi Zinol, 12, yang mengalami kecederaan parah akibat terbakar ketika cuba menyelamat bapa mereka Zinol Ismail, 51, yang cuba membakar diri, di Kampung Ruat, Yan pada Rabu. Zinol masih dirawat di Hospital Yan.
ALOR SETAR: Dua beradik berusia 12 dan 14 tahun melecur teruk ketika cuba menyelamatkan bapa mereka yang dipercayai membakar diri akibat mengalami kemurungan di rumah mereka di Kampung Ruat, Yan, dekat sini pagi Rabu.
Akibat kejadian pada 7.30 pagi tadi, Amirul Hadi Zinol, 12, dan abangnya Badrul Amin Zinol, 14, melecur di bahagian tangan dan kaki dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini manakala bapa mereka dirawat di Hospital Yan kerana terbakar seluruh badan.
Ibu mereka, Salmah Saad, 47, berkata ketika kejadian beliau keluar menghantar anak ke sekolah yang terletak satu kilometer dari rumah mereka.
Menurut beliau, kebiasaannya suaminya yang akan menghantar anak-anak ke sekolah namun pagi tadi beliau disuruh berbuat demikian kerana suaminya ingin membawa Amirul Hadi mengambil ubat di klinik kerana demam.
"Semasa saya balik, saya lihat suami sudah terbaring atas tilam dan hampir keseluruhan badan terbakar. Badrul Amin dan Amirul Hadi sudah lari ke rumah nenek mereka di sebelah rumah kami untuk selamatkan diri," katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Sultanah Bahiyah.
Salmah berkata sebelum membakar diri, suaminya dipercayai telah mengambil minyak petrol dari motosikal menggunakan sebuah baldi.
Kejadian itu disedari oleh anak-anaknya yang ketika itu sedang tidur di ruang tamu rumah mereka.
"Badrul Amin cuba menyelamatkan abahnya tetapi gagal dan kemudian Amirul Hadi datang menarik abangnya dan turut terbakar sebelum kedua-dua mereka melarikan diri ke rumah nenek," katanya.
Salmah berkata adik beliau, Rozali Saad, 36, datang mencurah air bagi memadamkan api pada badan suaminya.
Katanya beliau menyedari suaminya berubah menjadi murung sejak dua bulan lepas dan pernah membakar sebuah motosikal buruk dekat rumah mereka.
"Sebelum ini dia pendiam, cukup sayang anak-anak sebab kalau anak sakit dia yang jaga," kata Salmah.
Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie berkata Badrul Amin melecur 44 peratus di kedua-dua tangan dan kaki sehingga ke pinggang manakala Amirul Hadi melecur 32 peratus melibatkan separuh daripada kedua-dua belah kaki dan tangan.
"Kedua-dua mereka berada dalam keadaan sedar. Bapa mereka masih menerima rawatan di Hospital Yan. Saya difahamkan bapa mereka mengalami kebakaran hampir keseluruhan badan," katanya.
0 comments:
Post a Comment