KUALA LUMPUR 21 Mac - Blogger Amizudin Ahmat hari ini bersetuju untuk tidak menerbitkan semula artikel bertajuk 'Hei Pak Menteri... mana mau lari...' di laman blognya yang didakwa memfitnah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Persetujuan itu direkodkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datin Zabariah Mohd. Yusof ketika permohonan injunksi inter-parte itu didengar di kamar beliau pagi ini.
Ia diperoleh berdasarkan persetujuan bersama yang diberikan oleh Amizudin melalui peguamnya, Gan Chee Wei dan peguam Badrul Munir Bukhari bagi pihak Rais sehingga pelupusan kes saman fitnah yang difailkan oleh Rais terhadapnya.
Pada 2 Februari lalu, Rais selaku plaintif memperoleh injunksi yang memerintahkan supaya Amizudin yang dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman itu menarik balik artikel yang memfitnah beliau daripada laman blognya.
Selain itu, Hakim Zabariah membenarkan permohonan plaintif menghalang Amizudin, 42, atau ejennya daripada terus menyiarkan artikel berbaur fitnah itu sehingga permohonan injunksi inter-parte didengar.
Plaintif memfailkan writ saman dan injunksi tersebut pada 31 Januari lalu.
Dalam pernyataan tuntutan, Rais yang berusia 69 tahun menyatakan, pada 28 Disember tahun lalu, Amizudin sama ada secara sendiri mahupun melalui ejen-ejennya telah menyebabkan satu penerbitan artikel tersebut.
0 comments:
Post a Comment