Kenari Akan Kembali Menyinar - EXCO Belia & Sukan

ALOR SETAR - Exco Belia dan Sukan, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib yakin prestasi Kedah akan kembali menyinar dan menaruh kepercayaan tinggi terhadap kemampuan setiap pemain untuk melonjak semula dalam masa terdekat.

Walaupun sedikit gusar dengan pencapaian Kedah buat masa ini, namun beliau percaya setiap pemain harus diberi peluang untuk meningkatkan prestasi dan keserasian dalam permainan.

“Saya yakin pada pasukan sedia ada mampu cipta kejayaan sebab kita dibarisi pemain berkualiti dan ada yang bermain di peringkat kebangsaan. Walaupun sekarang agak hambar, namun masih ada peluang untuk bangkit kerana masih di peringkat awal perlawanan,” katanya.

Hamdan yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, maklum balas pemain menyatakan mereka kurang menyerlah berikutan sebahagian pemain utama baru pulih daripada kecederaan, dan peminat harus menerima alasan itu dengan hati terbuka.

“Saya harap peminat bersabar. Tidak wajar menyalahkan pemain jika kita kalah, berilah mereka masa untuk tonjolkan kemahiran masing-masing dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Menurutnya, pemain mahupun peminat diingatkan supaya mengimbas kembali zaman kegemilangan bola sepak Kedah yang suatu ketika dahulu berada di puncak dan dikagumi ramai.

“Saya harap semua pihak bagi ruang pada KFA untuk teliti masalah dalaman pasukan. Buat masa ini, semua cadangan daripada semua yang berkaitan dalam penelitian. Saya juga mengalu-alukan cadangan daripada bekas pemain dan bekas jurulatih untuk penambahbaikan,” katanya.

Hamdan tidak menafikan momentum pemain agak perlahan pada awal perlawanan kerana dibayangi tekanan daripada peminat fanatik.

“Sekali lagi ingin saya tegaskan KFA tiada masalah kewangan atau tidak menjaga kebajikan pemain, masalah timbul ekoran faktor lain. Buat masa ini saya harap jangan kenakan tekanan pada pemain tetapi terus bagi sokongan,” katanya.

Menurutnya, KFA kini turut memberi penekanan kepada program kejurulatihan agar dapat mempertingkat aspek latihan dalam usaha mencungkil bakat-bakat baru.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.