Suspek Pembunuhan Datuk Sosilawati Guna Gelaran Datuk 'Palsu'



KUALA LUMPUR 16 Sept. - Suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, tidak pernah dikurniakan sebarang darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk daripada mana-mana negeri.

Semakan Utusan Malaysia dalam Senarai Penerima Darjah Kebesaran (Bergelar) Negeri-Negeri dan Wilayah Persekutuan yang disiarkan dalam laman web rasmi Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA) mendapati, nama suspek berusia 41 tahun itu tidak tersenarai.

Laman web yang mengandungi maklumat senarai penerima pingat dan darjah kebesaran mulai tahun 1985 sehingga tahun lalu itu dipetik daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Semakan yang dibuat terhadap senarai 2009, tahun yang dikatakan suspek terbabit menerima penganugerahan gelaran Datuk bagaimanapun tidak menemui namanya, begitu juga pada tahun-tahun sebelum itu.

Semakan lanjut ke atas senarai dua negeri yang didakwa mengurniakan gelaran kepada lelaki itu iaitu Kelantan dan Pahang, juga tidak menunjukkan kebenarannya.

Semalam, pihak sumber Istana Pahang yang dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan tiada gelaran dikurniakan kepada lelaki itu, manakala Kelantan juga menafikan perkara tersebut.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini memetik sumber sebagai berkata, suspek utama dipercayai membeli gelaran Datuk daripada seorang ahli perniagaan dengan harga RM180,000.

Ahli perniagaan tersebut dikatakan memberitahu suspek bahawa namanya akan disenarai dalam senarai penerima darjah kebesaran yang membolehkannya menggunakan gelaran tersebut.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.