Dikemaskini: KUALA LUMPUR, 17 Sept — Pelawak dan pelakon terkenal M. Rajoli meninggal dunia di Hospital Ampang di sini, pada pukul 10.55 malam ini akibat penyakit kelenjar kanser otak.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Harun Salim Bachik berkata Allahyarham dirawat di hospital itu sejak tengah malam semalam setelah mengalami komplikasi penyakit itu.
“Allahyarham meninggal akibat penyakit lamanya itu dan dijangka akan disembahyang dan dikebumi di Keramat petang esok,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata hampir keseluruhan anggota keluarga Allahyarham berada bersamanya sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya.
Harun berkata pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada industri perfileman negara kerana Allahyarham adalah “bintang yang sentiasa menyinar”.
M. Rajoli (gambar) atau nama penuhnya Mohd Rajoli @ Mohd Rajab Mohamed, 64, menghidap penyakit kelenjar kanser otak sejak 2007 dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Beliau dimasukkan ke HKL pada 10 Okt 2007 dan dibedah pada keesokannya apabila doktor mendapati komplikasi penyakit di otaknya.
Selepas tiga minggu berada di Unit Neurologi, HKL, beliau dipindahkan ke Hospital Ampang pada 1 Nov 2007 untuk menjalani rawatan susulan kimoterapi dan fisioterapi sebelum dimasukkan ke HKL semula untuk rawatan radioterapi kerana keadaan jantungnya yang lemah.
Allahyarham terkenal dengan lakonan versatilnya dan pernah membintangi pelbagai drama dan filem antaranya Congkak dan Lembing Awang Pulang ke Dayang.
— Bernama
0 comments:
Post a Comment