Polis Sahkan Jutawan Warga India Menjadi Mangsa Bunuh

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Polis hari ini mengesahkan ahli perniagaan warga India, Allal Kathan Muthuraja yang dilapor hilang sejak awal tahun ini telah dibunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis kini menyiasat kes kehilangan lelaki berusia 34 tahun yang tiba di Malaysia pada 18 Januari lepas itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Saya sahkan mangsa dibunuh hasil daripada petunjuk dan keterangan-keterangan yang telah dikumpul.

“Berdasarkan dari itu kita telah “upgrade” kertas siasatan daripada orang hilang kepada kes bunuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes kehilangan ahli perniagaan hartanah, restoran dan barang kemas dari Chennai, India itu.

Kehilangan ahli perniagaan itu dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain apabila dia dilapor hilang selepas dijemput oleh kedua-dua peguam, yang juga merupakan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lepas.

Isteri ahli perniagaan itu, S. Usharani, 24, membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 September lepas.

Hari ini, Usharani menemui polis di Banting berhubung kes kehilangan suaminya itu. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.