1. Sukacita kami menegaskan di sini bahawa perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan Cik Puan Elia Suhana Ahmad yang berlangsung pada 13 Zulhijjah 1428H bersamaan dengan 23 Disember 2007M adalah satu perkahwinan yang sah di sisi hukum syarak dan undang-undang.
2. Hasrat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra untuk mengahwini Cik Puan Elia Suhana lahir daripada hati sanubari Baginda sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak sekalipun: Perkenalan di antara mereka bermula dari inisiatif Baginda sendiri manakala segala komunikasi di antara mereka berdua juga turut dibuat secara terus.
3. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra amat menyayangi Cik Puan Elia Suhana kerana, selama mereka berkenalan dan berada di dalam alam perkahwinan, Cik Puan Elia Suhana menunjukkan ketulusan hati yang tinggi dan tidak pernah meminta sebarang apa pun dari Baginda, sama ada yang membabitkan harta, pangkat ataupun kedudukan.
4. Sepanjang tempoh perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana ini juga, Cik Puan Elia Suhana mahupun ahli-ahli keluarga beliau yang lain juga didapati tidak pernah menggunakan nama Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra untuk memperolehi apa-apa kelebihan dari mana-mana pihak.
5. Tindakan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra mengahwini Cik Puan Elia Suhana merupakan satu tindakan terpuji yang menggambarkan kesedaran tinggi Baginda untuk mengamalkan corak kehidupan yang dikehendaki oleh ajaran agama di samping turut menggambarkan keberanian Baginda mengambil risiko demi menegakkan kebenaran.6. Adalah satu perkara yang telah menjadi rahsia umum (open secret) bahawa terdapat pihak yang menjadi histerikal apabila soal perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana diketahui sedangkan perkahwinan ini sepatutnya diterima dengan baik oleh semua pihak kerana ia merupakan satu sunnah.
7. Akibat tidak dapat menerima hakikat perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana ini, pihak ini telah berusaha untuk memisahkan pasangan suami isteri ini melalui pelbagai cara, termasuklah dengan menghebahkan kononnya telah berlaku perceraian talak tiga di antara mereka berdua.
8. Kesedaran beragama yang tinggi di dalam diri Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra, kasih sayang mendalam Baginda terhadap Cik Puan Elia Suhana dan ketidakupayaan Baginda membuat keputusan sendiri sejak mengalami kegeringan bagaimanapun menjadikan perceraian talak tiga ini suatu perkara yang amat mustahil.
9. Di dalam keadaan kegeringan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra sekarang, semua pihak perlulah mengenepikan emosi masing-masing dan menumpukan seluruh perhatian mereka bagi memastikan kebajikan Baginda sentiasa berada pada tahap yang terbaik sekaligus bagi memungkinkan pemulihan Baginda berlaku dengan lebih cepat.
10. Termasuk di dalam perkara ini adalah kebajikan kasih sayang dari isteri-isteri Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra di mana Baginda tidak seharusnya dinafikan dari memperolehi kasih sayang kedua-dua isteri Baginda manakala Cik Puan Elia Suhana juga tidak seharusnya dinafikan haknya untuk mencurahkan kasih sayang kepada Baginda.
11. Di dalam keadaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra tidak lagi berupaya untuk mencurahkan apa-apa harta, pangkat ataupun kedudukan, sementelahan pula Cik Puan Elia Suhana sendiri tidak pernah pun meminta-minta ke atasnya, beliau tidak seharusnya terus dizalimi dengan tidak dibenarkan untuk bertemu dengan suami yang tersayang.
12. Kami percaya, selaku seorang isteri yang telah terbukti baik, tiada apa lagi yang dikehendaki oleh Cik Puan Elia Suhana dari Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra melainkan untuk mencurahkan kasih sayangnya kepada Baginda di saat-saat Baginda amat memerlukan segala curahan kasih sayang dari semua pihak untuk kembali pulih.
13. Apakah kita tidak dapat menyelami betapa remuknya hati seorang suami yang, di dalam keadaan sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa, telah dinafikan haknya untuk memperolehi curahan kasih sayang daripada seorang isteri yang dipilih dan direstui sendiri olehnya untuk hidup bersamanya sewaktu beliau masih di dalam keadaan sihat?
14. Apakah kita tidak dapat menyelami betapa remuknya hati seorang isteri yang diasingkan dari suami yang tersayang sedangkan dia mengetahui suaminya masih menyayanginya? Seorang isteri yang baik akan merasa berdosa jika tidak dapat mencurahkan kasih sayang kepada suaminya tetapi tidakkah pihak yang menghalangnya dari berbuat demikian turut merasa berdosa sama?
15. Sekali lagi ingin ditegaskan bahawa perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana adalah satu perkahwinan yang sah di sisi hukum syarak dan undang-undang. Sehingga ia diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah syariah maka hak-hak mereka sebagai suami isteri tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.
16. Kita selaku seorang hamba yang lemah perlu sentiasa menyedari bahawa kita tidak akan mampu untuk memastikan kita memperolehi setiap keinginan yang kita cita-citakan sebagaimana kita juga perlu sentiasa menyedari bahawa kasih sayang itu tidak akan mampu untuk dibeli melalui harta benda (malah melalui apa-apa amalan perbomohan pun).
17. Kepada semua pihak, sukalah diingatkan supaya, sebagaimana kita juga perlu menerima tindakan Cik Puan Manohara Odelia Pinot lari meninggalkan Tengku Temenggong Kelantan sebagai satu takdir, menerima hakikat perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana sebagai satu ketentuan dari Ilahi.
18. Firman Allah di dalam Surah al-Anfal (Ayat 63): “Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara (perasaan) hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau membelanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara (perasaan) hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (perasaan hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
0 comments:
Post a Comment