Sistem Kehakiman Negara Makin Reput : Hakim Azahar Tolak Petisyen Zaid

Mahkamah Putra JayaOleh Kim Quek

Keputusan Hakim Azahar Mohamed untuk menolak permohonan Zaid Ibrahim membuka lembaran sejarah paling kotor dalam pilihan raya kecil (kawasan parlimen Hulu Selangor). Keputusan ini memang dijangka.

Malahan, sebaik sahaja saya mendapat tahu Ketua Hakim Zaki Azmi – bekas pemimpin Umno – melantik Azahar untuk mengendali kes ini, saya tahu bahawa prospek Zaid menuju kehancuran.

Bukankah Azahar merupakan hakim yang mengendalikan penghakiman bersifat "double standard" dalam kes Speaker melawan Speaker di Perak pada 8 September 2009?

Dalam penghakiman itu, berhubung isu kekecuhan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 Mei 2009, beliau menolak aduan V Sivakumar, speaker dari Pakatan Rakyat terhadap Speaker Barisan Nasional Ganesan atas alasan beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencampuri urusan DUN.

Tetapi beliau gagal untuk menyedari hakikat bahawa dengan mengisytiharkan pelantikan Ganesan sebagai speaker ketika dalam sidang DUN yang sama adalah satu tindakan yang melanggar undang-undang. Malahan beliau telah campur tangan di mana beliau berkata beliau cuba mengelak dari campur tangan.

Tindakan Azahar yang bercanggah ini begitu ketara, ibarat menampar muka sendiri. Sila baca rencana bertajuk "Speaker melawan Speaker: Hakim Azahar Menampar Mukanya Sendiri" dalam buku saya, "The March to Putrajaya."

Reputasi Azahar dicurigai

Dan bukankah Azahar sebagai pendakwa yang dituduh memalsukan bukti terhadap Anwar Ibrahim ketika perbicaraan rasuah 10 tahun lalu, yang mendapat kutukan dari seluruh dunia sebagai pencabulan terhadap keadilan dan pendakwaan bermotifkan politik semata- mata? (Ini merupakan suatu pertuduhan di mana Azahar tidak menafikannya, lihat nota 1 di bawah).

Apa lagi keputusan yang boleh kita harapkan daripada seorang bekas pemimpin Umno yang melantik seorang hakim yang mempunyai reputasi buruk untuk mendengar kes politik berprofil tinggi ini?

Sekarang, mari kita melihat penghakiman Azahar secara teliti dan terperinci.

Azahar membenarkan permohonan P Kamalathan dari Barisan Nasional (BN) untuk menyingkir petisyen Zaid berdasarkan alasan-alasan berikut:
  • Zaid gagal untuk mengenalpasti penerima dari perbuatan rasuah.
  • Zaid gagal membuktikan bagaimana tindakan-tindakan dakwaan rasuah telah mempengaruhi keputusan pilihan raya itu.
  • Zaid gagal menyediakan teks penuh atau transkrip dakwaan rasuah.
Dakwaan Zaid tentang berlakunya rasuah dalam petisyen ini hanya tertumpu kepada tawaran Perdana Menteri Najib Tun Razak sebanyak RM3 juta kepada sebuah sekolah Cina dan tawaran bayaran tunai kepada para peneroka Felda walaupun terdapat banyak lagi tawaran kebendaan sebagai umpan oleh BN melibatkan nilai berjuta-juta ringgit ketika kempen pilihan raya.

Bukti rasuah yang berleluasa

Apabila Najib membuat tawaran RM3 juta ketika menjelang hari mengundi, beliau memberitahu para pengundi di Rasa bahawa mereka boleh datang ke pejabatnya untuk mendapatkan bayaran itu pada keesokan harinya jika Kamalanathan menang. Tetapi beliau menambah, "jika kita kalah, tak payah datang."

Tawaran rasuah yang sensasi ini dengan secepat kilat dimuat dalam internet, yang dibaca di seluruh dunia, termasuk muatan di dada akhbar-akhbar pada hari esoknya.

Peristiwa ini menggemparkan orang ramai, tetapi Najib bukan sahaja tidak merasa bersalah tetapi beliau nampak berbangga dengan tindakan itu apabila beliau menyatakan bahawa ini membuktikan "kebolehpercayaan" terhadap dirinya ketika kempen pilihan raya parlimen di Sibu.

Beliau membuat kenyataan yang serupa kepada para pengundi Sibu menjelang hari mengundi. Kali ini ucapan penuhnya dirakam dalam video dan dimuat dalam YouTube hingga menarik minat audien yang lebih luas.

Tawaran tunai oleh Najib kepada para peneroka Felda Sungai Buaya ialah RM160,000 kepada bekas para peneroka untuk setiap ekar tanah yang dimajukan dan RM50,000 untuk waris-waris peneroka yang telah meninggal dunia. Tawaran ini diumumkan di depan khalayak ramai dan dilaporkan oleh media.

Adakah perbuatan-perbuatan ini membuktikan berlakunya sogokan dan rasuah pilihan raya di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954? Marilah kita lihat Seksyen 32 (a) dan 32 (c) Akta yang sama, di mana Zaid menjadikannya sebagai asas dalam petisyen beliau.

Seksyen 32, bertajuk "Mengelak berlakunya pilihanraya dalam petisyen pilihanraya" berbunyi:
"Pemilihan calon pada mana-mana pilihan raya harus diisytihar sebagai terbatal dalam petisyen pilihan raya berdasarkan salah satu, yang mana terbukti Hakim Pilihan Raya berpuas hati:
  • Rasuah umum, layanan umum atau gangguan umum berlaku secara berleluasa sehingga dianggap boleh memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.
  • Bahawa perbuatan rasuah atau perbuatan tidak sah berlaku berhubung dengan pilihan raya oleh calon atau dengan pengetahuannya atau persetujuannya atau oleh mana-mana agen calon.
  • " (Terdapat 5 sub-seksyen di bawah Seksyen 32).

Asas penghakiman adalah pelik

Selepas membacanya, adakah seorang rakyat biasa, mempunyai keraguan walau sedikit, bahawa rasuah untuk meraih undi telah berlaku?

Bukankah amat jelas bahawa tawaran RM3 juta merupakan tawaran untuk pertukaran undi-undi untuk Kamalanathan? Adakah tawaran tunai kepada para peneroka Felda merupakan umpan secara terang-terangan untuk mendapatkan undi kepada BN?

Adakah para hakim kita mempunyai fikiran yang waras dan logik sepertimana yang dimiliki oleh rakyat biasa?

Hakim Azahar menyatakan bahawa penerima-penerima sogokan mesti dikenalpasti dan bukti dikemukakan tentang berlakunya sogokan dan oleh sebab itu, memberi kesan kepada keputusan pilihan raya, ketika beliau belum lagi mendengar kes ini dengan sepenuhnya.

Tetapi bukankah percubaan untuk memberi rasuah sudah cukup untuk membuktikan kesalahan? Kenapa hakim mesti meminta bukti yang bukan-bukan pada peringkat awal apabila responden memohon kes ini ditolak sebelum mendengarnya?

Adakah terdapat bukti yang cukup pada peringkat ini untuk sekurang-kurangnya menarik keprihatinan hakim untuk terus mendengar supaya keadilan tidak dinafikan.

Apa guna hakim Azahar berada di sini – untuk menegak keadilan atau berkhidmat untuk sesuatu?

Adakah beliau sedar bahawa beliau telah mencabul sistem kehakiman, dan keseluruhan sistem demokrasi kita, apabila membuat penghakiman yang disifatkan menjangkau batas keadilan.
Penerima dakwaan rasuah tidak dikenalpasti?

Balik kepada alasan Azahar untuk tidak mendengar petisyen Zaid. Beliau berkata, para penerima dakwaan rasuah tidak dikenalpasti.

Bukankah para pengundi Rasa dan Sungai Buaya penerimanya? Jika seluruh negara, dan malahan seluruh dunia, mendapat akses kepada berita ini, maka kenapa Azahar begitu curiga tentang fakta ini sehinggakan beliau enggan mendengar lebih lanjut?

Azahar berkata Zaid tidak menyerahkan bukti bahawa dakwaan rasuah telah memberi kesan kepada keputusan pilihan raya. Apa jenis bukti yang beliau fikirkan?

Adakah beliau mengharapkan pengundi A bersumpah bahawa beliau hendak mengundi Zaid tetapi memandangkan terdapat tawaran daripada Najib, beliau merubah fikiran dan mengundi Kamalanathan?
Jika pengundi A benar-benar berbuat demikian, adakah Azahar boleh menerima pengakuan pengundi A sebagai suatu kebenaran yang murni?

Jika tidak, apakah bukti lain yang beliau ada dalam benaknya sebelum beliau bersetuju bahawa tawaran itu merupakan umpan yang boleh merubah keputusan para pengundi?

Hakim Azahar…… janganlah membuat perkara karut ini hingga menjadi pelik!

Azahar juga berkata beliau menolak kes ini kerana Zaid tidak menyediakan teks ucapan penuh Najib atau transkrip. Tetapi jika seluruh dunia tahu ucapannya dan malahan beliau sendiri merasa megah dengan perkara ini, adakah Azahar membuat sesuatu perkara yang memperlihatkan kebodohannya sendiri dengan menolak kes atas alasan yang remeh ini?

Kita telah melihat banyak peristiwa karut dan pengkhianatan terhadap mahkamah di negara ini. Apa yang sepatutnya Zaid lakukan ialah membuat rayuan sehingga ke peringkat mahkamah tertinggi.

Biar seluruh dunia melihat betapa jahatnya sistem kehakiman kita. Dan biar seluruh rakyat Malaysia sedar bahawa satu-satu cara untuk mendapatkan keadilan di negara ini ialah dengan menukar kerajaan.

Nota 1:
Azahar, pada ketika itu seorang pendakwa raya, dituduh memalsukan bukti terhadap Anwar Ibrahim bersama Gani Patail ketika perbicaraan kes rasuah pada 1999 dalam kes Zainur Zakaria melawan Pendakwa Raya. Mahkamah Persekutuan kemudiannya memutuskan terdapat kes "prima facie" untuk menjustifikasikan permohonan untuk menolak penglibatan kedua-dua pendakwa raya ini, kerana kedua-duanya tidak menafikan pertuduhan pada ketika itu. Kenyataan itu tidak bercanggah atau dicabar sehingga hari ini. Anda boleh merujuk kepada laman web Majlis Peguam untuk maklumat lanjut:

1 comments:

  1. sebenarnya rakyat yg celek tak akan mempercayai tuan2 hakim ni dalam kes2 berkaitan pehak pembakang lwn p,penguasa kerana tuan2 hakim ni seboleh2nya tentu memehak kepada bos mereka,bos2 mereka ni ada kuku, kuku mereka tentulah besi.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.