Kilang Carlsberg Dilawati Pemimpin PAS - Ada Apa Disebalik Lawatan Tu..?

Seorang ahli parlimen PAS yang terkenal dengan kontroversinya tersendiri, Khalid Samad kini mengambil langkah berani dan mengejutkan dengan melawat sebuah kilang arak di kawasannya.

Lawatan kerja wakil rakyat Shah Alam itu ke kilang Carlsberg di Seksyen 15 petang semalam mungkin yang pertama seumpanya dilakukan seorang pemimpin parti Islam itu.

"Mungkinlah (yang pertama), saya pun tidak tahu," katanya sambil ketawa ketika ditanya sama ada beliau orang pertama yang memecahkan kepantangan (tabu) itu.

Khalid (
kanan) yang juga anggota biro politik PAS menulis dalam blognya, beliau dan beberapa ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melawat kilang itu bagi membincangkan cadangan pemindahan stesen bas Shah Alam daripada Sekyen 16 ke tapak itu.

Bagaimanapun, kunjungan itu mungkin mengundang syak dan fitnah ekoran arak merupakan minuman haram dalam Islam dan dianggap sebagai "ibu segala maksiat".

Dalam lawatan itu, rombongannya disambut oleh timbalan pengarah urusan syarikat itu Datuk Chin Voon Loong, yang kemudiannya memberikan taklimat berhubung latar belakang dan prestasi kilang itu sejak dibangunkan 38 tahun lalu.

Ketika dihubungi
Malaysiakini hari ini, Khalid menegaskan beliau mengambil inisiatif melawat kilang tersebut hanya bagi melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat.

"Tentulah saya kena pergi. Kilang tersebut terletak dalam kawasan (parlimen) saya," jelas Khalid.

Tidak mungkin digunakan

Bagaimanapun, beliau dilihat telah bersedia dengan kemungkinan itu apabila menulis ayat pertama dalam artikel berjudul 'Lawatan Kerja ke Kilang Carlsberg dengan' dengan:

"Tajuk
posting saya kali ini barangkali akan memeranjatkan sesetengah pihak."

Malah, Khalid mengakui merasa bimbang gambar yang diambil di kilang tersebut akan disalahgunakan oleh penyokong parti lawan bagi menyerangnya.

"Terdetik juga rasa khuatir bahawa gambar itu akan disalahgunakan oleh pihak penyokong UMNO sepertimana yang terjadi dengan isu kuil Seksyen 19 dahulu di mana ianya diputar-belitkan.

"Namun, saya berserah kepada Allah dan saya rasa tiada yang perlu saya takutkan kerana saya tahu mengapa saya ke situ," katanya.

Bagaimanapun, di sebalik 'kejutan' itu, rundingan dengan pihak kilang dilihat mungkin mengalami laluan sukar apabila Khalid menulis "kemungkinan mereka (Carlsberg) berpindah adalah amat tipis sekali"

"Sekiranya diminta berpindah sekalipun, ianya memerlukan perbelanjaan yang terlalu besar yang perlu ditanggung oleh pihak kerajaan negeri.

"Oleh itu, walaupun tapak itu kelihatan yang paling strategik, ia tidak mungkin digunakan untuk terminal bas Shah Alam," tambah Khalid.

"Satu tapak yang lain, yang berhampiran landasan keretapi komuter dan juga lebuh raya perlu dikenalpasti."

1 comments:

  1. tunggu apa lagi buatla .Nanti abis duit rakyat sebab lagi lama lagi mahal.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.