Ketua Kampung Hutan Melintang Ditembak

TELUK INTAN: Seorang Ketua Kampung cedera ditembak di hadapan rumahnya di Kampung Kota, Hutan Melintang di sini, semalam.

Ketua Kampung Kota Hutan Melintang Syed Shabahar Syed Mohamad, 45, cedera di kedua-dua kaki dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata kejadian berlaku jam 10.15 malam ketika Syed Shabahar pulang dari kedai runcit tidak jauh dari rumahnya.

"Mangsa melihat sebuah kereta berhenti di hadapan rumahnya dan seorang lelaki yang tidak dikenali melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa yang mengenai kedua-dua kaki menyebabkan mangsa terjatuh.

"Lelaki terbabit bersama seorang rakannya yang memandu kereta itu kemudian melarikan diri," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian itu disedari isteri mangsa yang ketika itu menonton televisyen di ruang tamu rumah bersama empat anak mereka.

Kok meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di nombor telefon 05-6299222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Syed Shabahar yang juga seorang kontraktor ketika ditemui di hospital mendakwa beliau pernah menerima SMS berbau ugutan bunuh daripada nombor yang tidak dikenali tetapi hanya menganggapnya sebagai gurauan.

"Tidak sangka pula SMS itu menjadi kenyataan apabila seorang lelaki yang menaiki kereta Toyota Camry berhenti di hadapan rumah saya dan melepaskan tembakan," katanya yang juga Setiausaha Persatuan Ketua-Ketua Kampung Parlimen Bagan Datoh.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.