Mangsa amuk, Najihan Mohd Natri, 13, yang cedera di bahagian badan serta putus dua jari tangan kanan selepas ditetak oleh bapanya di rumah mereka di Taman Mawar, Langkap dekat Teluk Intan kira-kira 100 kilometer dari Ipoh, Sabtu. Bapanya, Mohd Natri Sharudin, 39, ditembak apabila cuba menyerang anggota polis dengan menggunakan parang dan pisau pada 8.30 pagi tadi. Dia turut menetak mati isterinya, Khairul Bariah Mohd Ariffin, 36, dan mencederakan seorang lagi anaknya. Foto BERNAMA
IPOH: Polis menembak mati seorang lelaki yang dipercayai tidak siuman kira-kira tiga jam selepas menetak mati isterinya dengan sebilah parang di rumah mereka di Taman Mawar, Langkap dekat Teluk Intan kira-kira 100 kilometer dari sini, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata Mohd Natri Sharudin, 39, ditembak apabila cuba menyerang anggota polis dengan menggunakan parang dan pisau pada kira-kira 8.30 pagi tadi.
Katanya, sebelum itu lelaki itu telah mengamuk dan menyerang isteri dan dua anak perempuan mereka pada kira-kira 5.15 pagi.
Isterinya Khairul Bariah Mohd Ariffin, 36, seorang pekerja kilang, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan manakala seorang anak mereka, Najihan, 13, cedera di bahagian badan serta putus dua jari tangan kanan, kata Goh ketika dihubungi.
Seorang lagi anak pasangan itu, Nazuwa, 10, terselamat daripada sebarang kecederaan, katanya.
Menurut Goh, selepas mendapat maklumat mengenai insiden itu, polis bergegas ke tempat kejadian dan berusaha memujuk Mohd Natri menyerah diri tetapi beliau terus mengurung diri di dalam rumah.
Katanya, anggota polis telah menembak mangsa dengan menggunakan senjata taser tetapi tidak berkesan malah menyebabkan dia semakin agresif.
Polis terpaksa menggunakan pistol apabila lelaki itu bertindak ganas dan cuba menyerang dengan parang dan pisau, katanya.
Menurut Goh, mangsa yang terkena dua das tembakan meninggal dunia di tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati lelaki itu memang mempunyai masalah mental dan pernah menjalani rawatan di hospital, katanya.
Mayat pasangan berkenaan telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat manakala Najihan pula dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan, katanya.
- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment