Berikut adalah sedikit gambar dari tempat kejadian untuk dikongsikan bersama..
Sumber dari Saudara Mazidul Akmal Sidek
Sumber gambar : ondscene
KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh, 64, dan pembantunya Siti Rohana Ismat, 43, ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala ketika mereka dilaporkan dalam perjalanan di lebuh raya dekat Sungai Buloh hari ini.
Polis percaya ia sebagai kejadian bunuh dan membunuh diri.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan siapa yang membunuh dan kemudian membunuh diri.
Siti Rohana ialah Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
Difahamkan kereta dipandu Abdul Aziz , bekas wakil rakyat Umno-BN dari Selangor, dipercayai terlepas kawalan dan merempuh pembahagi lebuh raya di Kilometer 455 Lebuh Raya Utara Selatan, ke arah Rawang kira-kira 11 pagi tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira tujuh kilometer selepas kawasan rehat dan rawat Sungai Buloh.
Polis juga menemui sepucuk pistol .38 dalam kereta Toyota Caldina itu, dipercayai milik Abdul Aziz yang merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar.
Tiga peluru dari pistol didapat telah digunakan.
Abu Hassan juga merupakan anggota Kabinet persekutuan sebelum dilantik sebagai menteri besar Selangor.
Abdul Aziz merupakan wakil rakyat Permatang selama dua penggal dan digugurkan pada 2008.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar dalam Facebooknya memberitahu, siasatan awal menunjukkan kedua-dua mangsa “terkena” tembakan di bahagian kepala.
Polis mendapati tembakan datang dari dalam kereta yang mereka naiki kerana kesan tembakan tidak dikesan pada badan kereta.
“Siasatan juga mendapati tembakan dilepaskan dari bahagian dalam kenderaan yang dinaiki mangsa,” kata Khalid.
Beliau berkata wanita yang bersama dengan Abdul Aziz itu merupakan pembantu peribadinya dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung punca kejadian tersebut.
Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
Anggota keluarga yang ditemui wartawan di rumah Abdul Aziz di Seksyen 9, Shah Alam enggan bercakap dengan wakil media.
Polis menyiasat kejadian di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Buat masa sekarang kami mengetepikan politik sebagai motif kejadian,” kata Khalid.
“Kami percaya ia satu kes bunuh dan membunuh diri,” kata Khalid sambil memberitahu pihaknya ada bukti bahawa hanya dua orang berada dalam kereta ketika kejadian.
“Jangan buat spekulasi (mengenai kes ini). Saksi yang ditemu bual di tempat kejadian mengesahkan tiada orang lain dalam kereta,” kata Khalid lagi dalam Facebooknya.
Khalid yang menyambung tulis dalam Facebook memberitahu, laporan bedah siasat awal menunjukkan ada dua kesan tembakan manakala pembantunya hanya satu.
Abdul Aziz meninggalkan isteri Siti Fatimah Mohd Noor, 62, serta dua anak perempuan, Norazilah, 40, pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Norazian, 37, pensyarah Universiti Industri Selangor (Unisel) dan seorang anak lelaki Mohd Anis Hisham, 33, exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
Sementara itu, Mohd Anis berkata kali terakhir beliau bertemu dengan ayahnya kira-kira 9 pagi tadi di kediamannya di Shah Alam.
“Sebelum mendapat tahu kejadian yang menimpa ayah melalui kawan saya tengah hari tadi, ayah ada cakap nak pergi satu majlis di Tanjung Karang.
“Saya amat kagum kebolehan yang ada pada ayah saya dan saya menjadikannya sebagai role model dalam bidang politik. Ayah mempunyai kebolehan berbahasa Mandarin. Ayah juga ada lesen pistol,” katanya ketika ditemui.
Bekas suami Siti Rohana, Abdul Aziz Hamim, 43, yang ditemui di hospital berkata mereka dikurniakan empat anak sebelum berpisah empat tahun lepas.
Katanya anak sulung mereka berusia 20 tahun manakala yang bongsu berusia sembilan tahun.
Seorang kenalan rapat kepada Siti Rohana, Towhid Mokthi, 53, berkata Siti Rohana aktif dalam politik dan pernah menjadi pegawai peribadi kepada Abdul Aziz.
“Rohana seorang yang peramah dan suka tolong orang. Dia sangat disenangi sebab itu dia terpilih sebagai Ketua Wanita Cawangan Umno Sungai Gulang-Gulang,” katanya.
The Malaysian Insider
Allah je yang tau...kalau islam tu dah tau pasal bunuh diri...tak taulah azab didalam kubur nanti..
ReplyDelete