Bekas Isteri Ust Akhil Hayy Akan Berkahwin 9 Ogos Nanti Setelah 2 Kali Terhalang. Bakal Suami Muda 12 Tahun....

Maizawati bakal menamatkan zaman jandanya pada 9 Ogos ini.

SELEPAS dua kali terpaksa menangguhkan tarikh perkahwinan, akhirnya bekas isteri kepada penyanyi nasyid Akhil Hayy, Maizawati Zainal,35, mengesahkan untuk bernikah dengan pasangannya, Mohd Yassin Rahim,23, pada 9 Ogos ini di Ipoh, Perak.

Majlis tersebut dijangka berlangsung selepas Zohor di salah sebuah masjid di Ulu Kinta, dalam suasana penuh sederhana dan dihadiri oleh ahli keluarga, rakan terdekat dan wakil media.

Wanita yang mesra dengan panggilan Maiza ini berkata dia dan pasangannya yang juga seorang Chef, menetapkan tarikh perkahwinan itu pada minggu lalu dan mahu melaksanakan yang wajib terlebih dahulu.

“Kadangkala apa yang kita rancang tu tak selalu menjadi. Tapi kali ini, kami tidak mahu merancang sangat dan berharap semuanya berjalan dengan lancar seperti yang diinginkan.

“Sebelum ini, kami banyak kerja dan komitmen lain sehingga beberapa kali terpaksa menangguhkan perkahwinan. Tetapi kali ini kami betul-betul nekad sebab selepas ini kami berdua akan bekerjasama untuk membuka perniagaan di Kuala Lumpur.

“Insya-Allah, pada bulan puasa ini, kami akan membuat bisnes produk Madu Herba Maiza dan menjadi ejen busana muslimah yang menjual baju kebaya, kebarung, jubah dan tudung,” kata duta Avon Intimate itu kepada mStar Online.

Maiza berkata, dia tidak menetapkan wang hantaran sebaliknya menerima mas kahwin sebanyak RM101 berserta lima dulang hantaran termasuk senaskhah al-Quran. Sementara pihak lelaki menerima tujuh dulang hantaran daripadanya.

“Selepas bernikah, kami akan membuat sedikit kenduri doa selamat di rumah saya. Setakat ini, kami belum merancang apa-apa majlis resepsi tetapi kalau ada rezeki Insya-Allah kami akan buat. Begitu juga sebelah pihak lelaki, kalau ada rezeki kami akan buat majlis pada tahun depan di Sabah,” ujarnya lagi.

Bakal suami Maiza berasal dari Likas, Sabah dan pernah bekerja sebagai Chef di Singapura. Atas kepakaran itu, pasangan yang berbeza usia 12 tahun itu juga merancang untuk membuka sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Menariknya, Mohd Yassin bercadang untuk memasak menu lauk pengantin untuk upacara makan beradap. Sementara lauk-pauk untuk tetamu akan dimasak secara gotong-royong oleh keluarga dan jiran tetangga Maiza.

Maiza pernah berkahwin sebanyak dua kali termasuk dengan penyanyi dan penceramah Akhil Hayy. Mereka bercerai pada 15 Julai 2009 dan mempunyai empat orang anak hasil perkahwinan itu. Maiza juga mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan pertamanya.

Sementara Akhil telah pun mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan penyanyi Waheeda.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.