SAMAN EKOR: MP Pokok sena kecewa Menteri batal temujanji Bincang Isu Bebanan Rakyat



PUTRAJAYA, 5 Ogos — Datuk Mahfuz Omar kecewa dengan pembatalan temu janji dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha untuk membincangkan isu saman ekor pagi ini, tetapi beliau menyerahkan memorandum meminta agar dasar menyenarai hitam kenderaan digugurkan.

“Saya kecewa kerana gagal untuk mengadakan pertemuan dengan menteri bagi membincangkan perkara ini.

“Sepatutnya hari ini, saya menyerahkan memorandum bantahan kepada menteri tapi nampaknya beliau tiada di pejabat walaupun sebelum ini temu janji telah dibuat,” kata Naib Presiden PAS itu pada sidang media di Kementerian Pengangkutan di sini.

Mahfuz (
gambar) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kempen Anti Saman Ekor berkata pihaknya hanya mengetahui temu janji tersebut dibatalkan lewat petang semalam.

“Saya diberitahu setiausaha akhbar menteri bahawa temu janji dibatalkan kerana menteri ada mesyuarat lain.

“Tapi saya beritahu kepadanya bahawa saya tetap akan datang hari ini untuk serahkan memorandum kerana saya sudah ada di Kuala Lumpur.

“Saya juga ada minta supaya timbalan menteri pengangkutan untuk adakah perbincangan tapi setiausaha akhbar itu beritahu semua tiada dan minta dibatalkan,” katanya.

Jawatankuasa kempen itu ditubuhkan dalam membantu mereka yang teraniaya kerana sistem saman ekor.

“Apa yang saya nak bawa hari ini adalah suara rakyat tapi seolah-olah ia tidak penting kepada kerajaan.

“Musim perayaan tidak lama lagi dan kita tahu masih ramai di luar sana yang masih gagal untuk memperbaharui lesen kenderaan mereka dek kerana saman yang dikenakan,” katanya.
Justeru, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berharap supaya satu lagi pertemuan dapat diaturkan dengan Kong bagi membincangkan perkara itu.

“Saya minta minggu depan 9 atau 10 Ogos dapat diadakan pertemuan dengan beliau (Kong).
“Selain itu, saya juga minta kepada mereka yang teraniaya dapat hadir ke Dewan Auditorium Majis Perbandarang Ampang Jaya (MPAJ) pada 9 Ogos ini pada pukul 9 malam bagi memberikan penerangan tentang hak mereka sebagai rakyat,” katanya.

Difahamkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh Polis Diraja Malaysia.

Mahfuz berkata tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan daripada memperbaharui cukai jalan akibat saman ekor seolah-olah menolak rezeki.

“Saya difahamkan oleh peguam, insurans masih boleh diperbaharui walaupun tanpa cukai jalan.
“Kenapa kerajaan jadi agensi penolak rezeki sedangkan pihak swasta mendapat wang daripada rakyat?” katanya.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan agar sistem saman yang lebih adil diperkenalkan bagi menggantikan saman ekor yang didakwa membebankan pengguna jalan raya.
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata saman ekor sedia ada memberi kesan negatif bukan sahaja terhadap pemilik kenderaan persendirian, malah pengusaha pengangkutan awam seperti bas dan teksi.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencadangkan agar kerajaan menyemak semula saman ekor dan mengkaji semula keputusan kerajaan untuk tidak mengurangkan kadar kompaun saman terhadap pesalah trafik.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.