Bekas Ketua Menteri Sabah Diperintah Bayar RM100,000

PUTRAJAYA 26 Julai - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat (gambar) gagal segala usaha meneruskan projek pembinaan patung Ma Zu (Dewa Laut) di Kudat setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonannya bagi mendapatkan kebenaran merayu.

Sebaliknya, beliau diperintah membayar RM100,000 kepada empat responden setelah panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff menolak permohonan itu dengan kos.

Keempat-empat responden itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk K.Y. Mustafa; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Ujang Sulani; serta Lembaga Bandar Kudat.

Hakim Alauddin dalam keputusan sebulat suara itu memerintahkan Kah Kiat menjelaskan jumlah itu secara peribadi melibatkan tiga peringkat prosiding bermula dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan berakhir di Mahkamah Persekutuan.

Turut bersidang bersama beliau ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Kelulusan bagi mendirikan patung 10 tingkat dengan ketinggian 14 meter itu dikeluarkan kepada Yayasan Kebajikan Thean Hou Kudat yang diketuai oleh Kah Kiat pada 8 Februari 2007.

Bagaimanapun, kebenaran daripada Lembaga Bandar Kudat itu ditarik balik pada 15 November 2007 berikutan lokasi yang tidak sesuai menyebabkan projek yang hampir 95 peratus siap itu dihentikan.

Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, pada 12 Disember 2007, Kah Kiat memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi membatalkan penarikan balik surat kebenaran dan mengisytiharkan ia sah dan terpakai bagi semua pihak.

Keempat-empat responden kemudian memohon agar saman itu diketepikan. Bagaimanapun ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi menyebabkan mereka merayu ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos tahun lalu mengetepikan saman Kah Kiat setelah berpuas hati bahawa beliau tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk merayu kerana yayasan yang dipengerusikannya itu tidak didaftarkan secara sah.

Pada prosiding hari ini, peguam Raja Aziz Addruse ketika berhujah mewakili Kah Kiat menyatakan, Mahkamah Rayuan tersilap kerana gagal menimbang isu penting dan hanya memfokus kepada persoalan sama ada yayasan itu merupakan persatuan yang tidak sah.

Beliau menghujahkan, panel itu terkhilaf kerana gagal menimbang sama ada wujud keperluan dari segi undang-undang untuk memutuskan bahawa yayasan itu mesti didaftarkan sebagai sebuah persatuan.

Sementara itu, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang berhujah mewakili keempat-empat responden menyatakan bahawa Kah Kiat tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk merayu setelah bertindak selaku pengerusi terhadap yayasan yang tidak didaftarkan secara sah.

Sehubungan itu, beliau menyatakan, Kah Kiat tidak memenuhi kriteria di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman yang membolehkannya mendapat kebenaran merayu.

Isu pembinaan patung itu menimbulkan kontroversi apabila Kah Kiat mendedahkan bahawa antara punca beliau meletak jawatan adalah kerana dihalang membinanya sedangkan kelulusan telah diberikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Kapor itu meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah pada 13 April 2007.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.