Ahli Majlis MPK Diarah Bercuti Atas Dakwaan Salah Laku

SHAH ALAM, 29 Julai – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ahli majlis Perbandaran Klang (MPK) Tee Boon Hock diarahkan bercuti sementara siasatan dilakukan ke atas dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penyalahgunaan kepala surat dan cap rasmi Exco bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kontrak MPK.

Beliau berkata Tee akan bercuti bermula esok sehingga satu tempoh yang akan diberitahu.

“Tee (gambar) sendiri telah maklum dengan perkara ini dan beliau bersetuju dengan rela hati untuk bercuti buat sementara waktu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis konvokesyen ke-9 Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di sini hari ini.

Katanya kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Audit Negeri menyiasat dakwaan seorang ahli majlis MPK telah menyalahgunakan kepala surat dan cap rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor Ronnie Liu bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kroni dan anggota keluarganya untuk mendapatkan kontrak MPK.

Semalam, Tee dalam satu kenyataan menafikan beliau adalah ahli majlis MPK yang dimaksudkan itu.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri tidak akan menghukum seseorang itu sehingga siasatan mendapatinya bersalah.

“Jika didapati bersalah kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Sementara itu, mengenai Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar berkata kerajaan negeri juga sedang membuat persediaan untuk mengambil tindakan serupa.

“Kita juga akan ambil tindakan terhadap Syabas kerana kegagalan memberikan perkhidmatan yang dijanjikan. Boleh jadi kita jumpa di mahkamah,” katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Operasi Syabas Datuk Lee Miang Koi berkata Syabas akan menyaman kerajaan negeri bagi menuntut pampasan kerana menangguhkan pelarasan tarif air dan sehingga hujung tahun ini, pampasan yang perlu dibayar kepada Syabas dijangka mencecah RM1 bilion. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.