Dua ADUN PR Selangor Diarah ke SPRM Putrajaya Esok

Dua ADUN Selangor telah diarahkan ke pejabat Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok bagi merakamkan kenyataan mereka.

Wakil PKR Mat Shuhaimi Shafiei (Sri Muda) dan Amirudin Shari (Batu Caves) menerima notis berasingan pada Isnin lalu bagi membantu penyiasatan di bawah Seksyen 17(a), Akta SPRM.

Mat Shuhaimi, ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau menerima notis berkenaan.

Katanya, walaupun tidak mengetahui apa yang ingin disiasat oleh SPRM, tetapi beliau akan tetap ke Putrajaya.

“Saya fikir ini adalah serangan kedua oleh BN yang menggunakan SPRM untuk memalukan perwakilan Pakatan di Selangor,” katanya sambil menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Sementara itu, pengarah penerangan Selangor, Badrul Amin Baharom dalam satu kenyataan berkata langkah SPRM itu merupakan satu lagi serangan baru daripada siri percubaan untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan di Selangor.

“Kami juga tidak menyangkal kemungkinan SPRM dipergunakan untuk menjayakan agenda Umno-Barisan Nasional merampas kuasa pentadbiran Selangor, sepertimana berlaku dalam insiden rampasan kuasa kerajaan negeri Perak pada tahun 2009,” katanya.

Sehubungan itu, Badrul Amin menggesa SPRM bersikap professional dalam menjalankan tugas.

“Kami turut menggesa SPRM menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Barisan Nasional yang terang-terang melakukan rasuah seperti bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua ADUN Pakatan itu akan hadir bersama peguam masing-masing ke pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 3 petang esok untuk memberi kerjasama yang sewajarnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.