KUALA LUMPUR, 21 Mei — Susulan pengumuman kerajaan negeri Kelantan semalam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan berbincang dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan persetujuan untuk memanjangkan tempoh cuti bersalin daripada 60 kepada 90 hari.
Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata perbincangan yang turut melibatkan Kementerian Sumber Manusia itu merupakan kelangsungan daripada usaha yang dilakukan kementeriannya empat tahun lalu.
Semalam, kerajaan Kelantan berkata akan melaksanakan peraturan cuti bersalin bagi kakitangan wanita selama 90 hari, mulai tahun depan berbanding dua bulan yang dikuatkuasakan sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Kelantan, Wan Ubaidah Wan Omar berkata peraturan baru itu bagi membolehkan kakitangan wanita mengambil masa lebih panjang menjaga anak dan keluarga dalam tempoh pantang bersalin itu.
“Kementerian dalam masa terdekat ini akan melihat kembali syor yang pernah dibuat empat tahun yang lalu yang berusaha berjumpa pekerja, pihak majikan, dan badan bukan kerajaan untuk mendapatkan persetujuan supaya kerajaan menambahkan jumlah cuti bagi wanita bersalin.
“Perjuangan kita pada masa itu adalah memohon untuk memanjangkan cuti kepada 84 hari tapi hari ini atas faktor semasa dan permintaan ramai kita setuju untuk memohon agar kerajaan meluluskan permohonan cuti 90 hari kepada wanita bersalin,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis penutupan Forum Ekonomi Islam Sedunia Keenam di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa di sini, hari ini.
Dipetik Bernama Shahrizat berkata, ketika mula-mula dibangkitkan empat tahun lalu cadangan tersebut mendapat reaksi negatif daripada majikan yang mendakwa sekiranya cadangan itu diluluskan akan timbul masalah di mana wanita tidak lagi diberi peluang untuk terlibat dalam pasaran pekerjaan.
Katanya, sudah tiba masanya untuk kementerian mempergiatkan semula usaha tersebut kerana suasana dan persekitaran kerja sudah jauh berubah.
“Pada masa itu ada banyak NGO wanita tidak bersetuju, tapi hari ini kementerian berpendapat bahawa masanya telah tiba untuk kita giatkan kembali usaha empat tahun dulu kerana persekitaran sosial hari ini amat memerlukan kita memulakan pendidikan anak-anak bermula dari kecil lagi,” katanya.
Shahrizat berkata, kementeriannya akan memulakan rundingan dengan pihak-pihak tertentu dengan melibatkan Kementerian Sumber Manusia bagi mendapatkan persetujuan untuk dibentangkan kepada kerajaan bagi membolehkan permohonan tempoh masa cuti bersalin ditambah.
“Sebab itu kita akan bangkitkan semula permohonan ini dan saya akan pastikan bahawa akan ada kajian terkini sebelum perkara ini dibawa ke Kabinet,” katanya.
0 comments:
Post a Comment