LAHORE 21 Mei - Beribu-ribu rakyat Pakistan dijangka membanjiri jalan-jalan raya hari ini bagi meluahkan kemarahan terhadap Facebook dan Barat berhubung penyebaran karikatur Nabi Muhammad, yang dianggap mencabul Islam.
Ia berikutan tindakan seorang pengguna Facebook yang menganjurkan satu pertandingan 'Hari Melukis Gambar Nabi Muhammad' yang kononnya bertujuan 'menggalakkan kebebasan bersuara', yang diilhamkan oleh seorang kartunis Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun tindakan itu menimbulkan kemarahan hebat di negara Islam ini yang dihuni 170 juta penduduk.
Islam melarang sebarang lukisan yang menggambarkan Nabi Muhammad dan menganggapnya sebagai kufur.
Perselisihan terbaru itu turut membangkitkan perbandingan dengan bantahan di seluruh dunia Islam berhubung penerbitan kartun yang menyindir Nabi Muhammad dalam akhbar-akhbar Eropah pada 2006.
Lembaga Telekomunikasi Pakistan (PTA) mengharamkan akses ke Facebook, YouTube dan lebih 450 pautan ke laman web yang mengandungi kandungan 'menghina serta mencabul' Islam.
Beribu-ribu pelajar dan aktivis Islam dilapor telah membanjiri jalan-jalan raya di beberapa bandar Pakistan dan parti agama juga turut menganjurkan bantahan besar-besaran yang dijadual selepas solat Jumaat hari ini.
Perhimpunan dijangka diadakan di bandar Lahore, Karachi, Peshawar dan Rawalpindi.
Halaman Facebook yang dimaksudkan hari ini telah menarik 105,000 peminat dengan lima muka surat mengandungi lakaran kasar serta karikatur Nabi Muhammad.
Halaman-halaman yang diwujudkan bagi mengutuk pertandingan itu dan menyeru pemboikotan pertandingan semalam itu menarik lebih ramai peminat.
Facebook menyuarakan kekecewaan berhubung tindakan kerajaan Pakistan menyekat laman webnya dan pihaknya sedang menimbang untuk tidak membenarkan akses ke halaman terlibat sahaja. - AFP
0 comments:
Post a Comment