GMJ: Platform Baru Bantah Judi di Kedah

Kesemua sayap Pemuda Pakatan Rakyat dan beberapa NGO di negeri Kedah menggiatkan bantahan terhadap kelulusan lesen judi bola sepak, kini melalui platform baru dinamakan Gerakan Membantah Judi (GMJ).

Dalam pertemuan malam tadi, gerakan yang disertai 22 anggota, - termasuk SAYAP Pemuda sebuah parti komponen BN, GERAKAN - mahu kerajaan membatalkan kelulusan judi bola sepak secara serta-merta.

Angota lain gerakan itu antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Persatuan Ulama Kedah (PUM).

Ketua Pemuda PAS Ahmad Yahya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini mengesahkan pertemuan di kompleks PAS di Kota Sarang Semut malam tadi.

Dalam kenyataan GMJ, mereka melahirkan rasa kesal, sedih dan kecewa dengan penjelasan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Awang Hussein mengenai kewajaran tindakan kerajaan itu.

"Kami berpandangan dan menegaskan bahawa kewujudan judi sukan ini akan menambahkan lagi kemusnahan institusi keluarga dan masyarakat serta meruntuhkan tamadun manusia walaupun mendatangkan perolehan lumayan kepada negara dalam bentuk kewangan.

"Kami tidak pernah menghalang kemajuan sukan negara kita bahkan kami akan terus menyokong pembangunan sukan. Namun industri sukan negara akan hancur apabila ia terlibat dengan pertaruhan.

"Pihak kerajaan wajib mendapat pandangan awam yang menentang kelulusan lesen baru di samping kewujudan lesen-lesen yang ada yang sudah terlalu banyak," kata kenyataan tersebut.

Awang Adek sebelum ini antaranya dilaporkan berkata kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen jenis itu bagi mengawal aktiviti perjudian haram.

Kenyataan itu juga menyebut, kerajaan sepatutmya memikirkan kepentingan rakyat daripada membuat keputusan yang "sangat condong kepada taukeh judi yang hanya memikirkan keuntungan".

Selain itu, GMJ berkata kerajaan patut mendapatkan sumber lain "yang baik" untuk membangunkan negara.

"Kami akan menggunakan apa sahaja cara untuk membantah keputusan yang tidak masuk akal ini.

"Kami juga menyeru seluruh rakyat negeri Kedah, tanpa mengira latarbelakang agama, bangsa dan parti politik untuk bangkit membantah keputusan ini," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, kerajaan secara rasmi dilaporkan memberi lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA.

Tindakan itu dibantah pelbagai pihak, khususnya termasuk pakatan pembangkang dan NGO Melayu-Islam di Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.