Penduduk Gunong Sali diarah berpindah dapat perhatian Exco



GUNUNG SALI – Kegusaran enam keluarga di Kampung Gunung Sali yang diarah mengosongkan rumah oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) mendapat perhatian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Dr Ismail Salleh.

Nasib mereka akhirnya terbela apabila Dr Ismail yang membuat tinjauan ke kawasan tersebut berjanji akan berusaha untuk mendapatkan rumah yang membolehkan mereka berpindah ke rumah baru.

Penduduk berkenaan menduduki kawasan petempatan tersebut selama 25 tahun di atas tanah milik kerajaan negeri.

“Saya telah turun melawat sekitar kampung ini untuk meninjau keadaan sebenar tentang masalah yang diadukan kepada saya,” jelas beliau.

Menurutnya, penduduk ini telah mendapat surat arahan untuk mengosongkan rumah bagi memberi laluan kepada projek tebatan banjir yang dijalankan oleh pihak JPS. Kawasan yang terlibat akan dijadikan laluan sungai.

Jelas beliau, projek ini bertujuan mengatasi masalah banjir di kawasan setinggan Gunung Sali. Ini kerana kawasan ini sering berlaku banjir apabila hujan turun.

Ini bukan sahaja mengakibatkan aliran perparitan tersumbat tetapi ia juga menjadi tempat untuk nyamuk membiak serta menghasilkan bau yang busuk.

Jelas Dr Ismail, bagi mengatasi masalah ini JPS akan mendalamkan serta membesarkan sungai yang tersumbat teruk sejak sekian lama yang merentasi kawasan setinggan ini.

“Aliran sungai itu akan dihubungkan daripada Sungai Kampung Mempelam ke Kampung Gunung Sali serta akan menghubungkan alirannya terus ke Sungai Besar,” katanya.

Turut sama dalam tinjauan ialah Ketua Kampung Gunung Sali, Encik Abdul Kadir Hj Ali dan aktivis masyarakat, Haji Adnan Saad.

Ditulis oleh NIK NURUL NADZIRAH NIK MD ZABARI

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.