LANGKAWI: Teman lelaki Halimaton Abdul Rashid, pelajar pintar yang melarikan diri ke pulau ini bulan lalu untuk berkahwin, ditahan polis pada Jumaat lalu untuk disiasat kerana disyaki melarikan pelajar berkenaan daripada penjaganya.
Mohamad Noor Abdullah, 19, atau lebih dikenali sebagai Adam, ditahan di rumahnya oleh sepasukan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi sebelum dihantar ke IPD Kuala Muda, tempat laporan kehilangannya dibuat pada 22 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Ishak Hasan, ketika dihubungi mengesahkan penahanan remaja lelaki itu dan kes diserahkan kepada IPD Kuala Muda untuk siasatan lanjut.
Penahanan dipercayai mempunyai kaitan dengan laporan polis yang dibuat oleh keluarga Halimaton selepas pelajar itu dilaporkan hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, pada 22 Mac lalu.
Dalam perkembangan lain, Halimaton yang mencatat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2007 tiba di Alor Setar dari Langkawi kira-kira jam 2 petang Jumaat lalu bersama beberapa kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling dan ditempatkan sementara di pejabat jabatan berkenaan, di Alor Setar.
Kakaknya, Hamiza, ketika dihubungi semalam berkata adiknya dibawa pulang selepas ibu, bapa dan dua ibu saudaranya pergi ke rumah Mohd Nor pada awal pagi hari yang sama.
Bagaimanapun, katanya, Halimaton terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar lewat petang itu apabila pengsan selepas menerima rawatan tradisional yang diatur oleh keluarganya.
"Keluarga saya berjaya membawa pulang Halimaton dengan kerjasama polis. Mereka menaiki feri dari Langkawi kira-kira jam 10 pagi. Bagaimanapun, dia pengsan selepas menerima rawatan daripada seorang pengamal perubatan tradisional. Setakat ini saya tidak pasti keadaannya,” katanya.
Halimaton dari Kampung Lanai, Kupang Baling dipercayai tinggal di rumah Mohd Nor, di Langkawi sejak dilaporkan hilang. Ibunya, Normah Abd Mutalib, 46, datang ke Langkawi pada 1 April lalu dan berbincang untuk membawanya pulang ke Baling tetapi dia enggan.
Perbincangan antara dua keluarga terbabit setuju menikahkan pasangan itu dalam tempoh terdekat selepas mendapat kebenaran Mahkamah Syariah Baling.
0 comments:
Post a Comment