Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN
SUDAH terang lagi bersuluh calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini, orang MIC.
Kenyataan tersebut telah disahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN pada Konvensyen BN Selangor minggu lalu.
“Saya minta biar saya tentukan calon sebab kita hendak menang. Kalau kalah bukan MIC sahaja kalah, tetapi BN kalah. Kalau menang, bukan MIC menang tetapi BN menang,” kata Najib ketika itu.
Dengan penegasan yang dibuat oleh Pengerusi BN itu jelas membuktikan semangat setiakawan yang tinggi masih dipraktikkan di kalangan parti-parti komponen BN yang lain.
Ini kerana sejak empat penggal yang lalu kerusi itu sememangnya dimiliki oleh MIC walaupun pada asalnya Hulu Selangor merupakan kerusi Umno pada tahun 1955.
Persoalannya, siapakah calon yang bakal diturunkan sebagai ayam sabung BN yang merupakan pembangkang di Selangor bagi merampas kembali kerusi yang dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum ke-12, Mac 2008 itu.
Cakap-cakap menyatakan Perdana Menteri telah pun memberi restu serta menandatangani surat watikah calon BN yang akan mewakili parti itu pada pilihan raya kecil Hulu Selangor itu nanti.
Calonnya tak lain tak bukan, Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang merupakan penyandang kerusi tersebut selama tiga penggal berturut-turut sebelum ini.
Beliau dikatakan sebagai calon yang paling layak mewakili MIC di kerusi berkenaan atas kapasitinya sebagai Ketua MIC Selangor dan Ketua MIC Bahagian Hulu Selangor.
Bukan itu sahaja, sebagai anak tempatan, bekas Timbalan Menteri itu dikatakan calon yang sesuai menebus maruah BN selepas beliau tewas tipis dengan 198 undi kepada calon PKR Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada pilihan raya umum yang lalu.
Lebih menguatkan lagi spekulasi itu ialah apabila Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu awal-awal lagi sudah memukul canang dengan menamakan Palanivel sebagai calon yang BN sesuai di Hulu Selangor - biasanya Pengerusi BN akan bersetuju dengan cadangan ketua parti komponen yang bertanding dalam soal pemilihan calon.
Biarpun ada yang memberi tentangan terhadap pencalonan Palanivel di peringkat akar umbi, namun hingga kini namanya dikatakan mendahului senarai.
Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin, untuk menang dalam pilihan raya kecil kali ini, MIC perlu meletakkan calon yang diterima oleh masyarakat tempatan.
“Siapa juga yang akan diletakkan sebagai calon dia perlu memenuhi kriteria ini. Kalau MIC tidak mahu kalah lagi mereka perlu terima syarat ini,” katanya kepada mStar Online hari ini.
Menurut Nidzammuddin, sudah tiba masanya MIC mendengar denyut nadi rakyat dalam soal menentukan calon mereka kerana pengundi hari ini sudah bijak membuat pilihan.
“Mereka perlu letak calon yang dekat dengan hati rakyat, jika ramai pengundi muda di Hulu Selangor, adalah lebih elok jika MIC meletakkan calon muda.
“Namun, jika pengundi di sana sukakan Palanivel, MIC perlu akur kepada kehendak akar umbi. Mereka ini berkuasa untuk menentukan siapa yang akan pilih sebagai wakil rakyat,” katanya.
Tegasnya, rakyat hari ini sudah bijak menilai, siapa pemimpin yang boleh membuat kerja akan dipilih dan mentaliti memangkah calon berdasarkan parti yang diwakili sudah berakhir
Berbalik kepada soal Palanivel, ramai yang melihat sekiranya beliau dipilih sebagai calon ia akan mengangkat kembali maruah MIC di persada politik tanah air.
Namun demikian harus diingat selain nama Palanivel terdapat beberapa nama lain turut menjadi perhatian kerana dikatakan mempunyai potensi diangkat calon.
Antaranya ialah Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Selangor V. Mugilan dan Ketua Penerangan MIC pusat, P. Kamalanathan.
V. Mugilan 35, yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda MIC pusat merupakan ‘anak didik’ Palanivel dan anak jati kawasan Hulu Selangor.
Anak muda itu berasal dari Ladang Kerling sementara Kamalanathan pula dari Rawang.
Pada asasnya, Hulu Selangor adalah kubu kuat BN. Bagaimanapun, ia tercalar pada pilihan raya lepas apabila Palanivel tewas di tangan Allahyarham Dr Zainal.
Namun kemenangan pembangkang di kawasan berkenaan bukanlah kemenangan mutlak kerana tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Selangor dimenangi BN iaitu Hulu Bernam (Umno), Batang Kali (Umno) dan Kuala Kubu Bahru (MCA).
Kawasan Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.
Daripada jumlah itu, 34,020 orang atau 52.7 peratus adalah pengundi Melayu, manakala pengundi Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus pengundi.
Jika BN dikatakan bakal menurunkan Palanivel, cakap-cakap mengenai calon Pakatan Rakyat (PR) daripada kalangan pemimpin mereka juga tidak kurang hebatnya.
Mereka mendakwa sekiranya Timbalan Presiden MIC itu diletakkan sebagai calon BN, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim akan mewakili PKR.
Kalau benar seperti yang diperkatakan, apakah bekas menteri dan peguam terkenal itu ayam sabung yang baik untuk melawan MIC?
Situasi pilihan raya kali ini dianggap sengit kerana ia bakal menentukan survival MIC dan PKR oleh itu satu undi sekali pun dianggap amat penting.
Soal calon biarlah Perdana Menteri yang tentukan. Siapa tahu mungkin calon daripada Umno atau MCA akan dipilih?
Apa pun telahan yang dibuat semuanya bakal terjawab apabila Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman rasmi mengenai calon BN Khamis ini.
0 comments:
Post a Comment