Gambar2 Pengebumian Jenazah Achik Selamat Disemadikan di Makam Tuan Haji Said Sebelum Zohor




SANAK saudara serta sahabat handai hadir pada pengkebumian jenazah Abdillah Murad Md Shaari atau lebih di kenali sebagai Achik Spin di Makam Tuan Haji Said di Seremban, hari ini. Achik Spin, 27, terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan di KM14.7 Lebuh Raya Kajang-Seremban 6.16 petang, semalam.

SEREMBAN: Jenazah vokalis kumpulan Spin, Achik yang meninggal dunia setelah terbabit dalam kemalangan semalam selamat dikebumikan di Makam Tuan Haji Said di sini, kira-kira 1 petang ini.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Achik, 27, dituntut oleh ahli keluarga di bilik mayat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini setelah selesai bedah siasat.

Jenazah kemudian dimandi dan dikafankan di hospital itu dan dibawa dengan van jenazah ke rumah mertuanya di Taman Desa Ros, Ampangan di sini kira-kira pukul 11.30 pagi bagi membolehkan kaum keluarga dan kenalan terdekat memberi penghormatan terakhir.

Jenazah disembahyangkan di surau Taman Bukti, berhampiran Taman Desa Ros dan dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 12.00 tengah hari.

Suasana sedih dan sepi menyelubungi rumah mertua Allahyarham yang dihadiri lebih 100 orang termasuk saudara mara dan penduduk kawasan berkenaan.

Antara artis yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Hattan, Siti Nordiana atau Nana, Tomok dan Lan Kristal. Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari yang popular dengan lagu 'Janji Kita' terbunuh apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama sepupunya, Salihin Md Salleh, 29, terbabas lalu terbakar di KM 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dekat sini kira-kira jam 6.15 petang
semalam.

Isteri Allahyarham, HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, 29, berkata
setengah jam sebelum kemalangan itu berlaku, suaminya ada menelefon meminta
beliau dan anak supaya bersiap tapi tidak pula dinyatakan hendak ke mana.

"Bagaimanpun tak berapa lama kemudian saya dapat panggilan telefon yang
menyatakan suami saya telah meninggal dunia dalam satu kemalangan. Berita sedih
yang sungguh mengejutkan saya," katanya.

Katanya minggu lepas beliau sekeluarga pindah di sebelah rumah emaknya
setelah seminggu sebelum itu Allahyarham beriya-iya mengemas rumah itu termasuk
mengecatnya.

"Katanya ini akan memudahkan ibu mertuanya untuk 'melihat' isteri dan
anaknya Sofia, 3 tahun dan Safia, 10 bulan," katanya.

Emak Allahyarham Badariah Awaluddin, 54, berkata kali terakhir beliau
berjumpa Allahyarham dua minggu lalu di rumah salah seorang adiknya.

"Allahyarham nampak pendiam dan tidak seperti biasa. Allahyarham adalah anak kelima daripada sepuluh orang adik beradik. Suami saya (ayah Allahyarham) telah meninggal dua tahun lalu," katanya.


*****Video MPV Terbakar ******

Sementara itu, Siti Nordiana yang merupakan rakan rapat Allahyarham sejak kecil berkata beliau berasa amat sedih kerana dia adalah orang terakhir berjumpa Allahyarham di Angkasapuri, semalam.

Katanya Allahyarham memang tidak ada apa-apa perubahan, cuma Allahyarham lebih banyak hendak berbual dengannya, tidak macam biasa.

"Semasa di Angkasapuri dia tumpang naik kereta Nana pada jam 5.30 petang
semalam sebab keretanya jauh sedikit.....tahu-tahu jam 6 petang dia sudah
meninggal dunia. Nana sangat sedih dan terkejut. Tambah sedih lagi semalam Nana
lihat anaknya panggil ayah," katanya.

Hattan berkata ia satu kehilangan kerana Allahyarham masih muda lagi dan
aktif.

"Saya rasa sedih dan ia juga kehilangan besar buat Negeri Sembilan kerana tidak ramai penyanyi kelahiran Negeri Sembilan. Saya ucapkan takziah dan harap keluarga Allahyarham bersabar menerima dugaan ini," katanya.

Tomok, 26, pula berkata ketiadaan Allahyarham satu kehilangan besar dalam industri muzik.

"Saya amat terkejut dan sedih apabila mendapat berita itu semalam dan tidak sangka Allahyarham pergi dulu. Saya sudah lama tidak berjumpa Allahyarham iaitu sejak lebih setahun," katanya yang seangkatan dengan Allahyarham.

Lan Kristal, 25, pula berkata walaupun tidak rapat tapi terasa kehilangan Allahyarham.

"Saya dapat tahu berita kemalangan dan kematian Achik dari Siti Nordiana
melalui khidmat pesanan ringkas," katanya. - Bernama

7 comments:

  1. SAYA HARAP.....ALLAHYARHAM DITEMPATKAN DIKALANGAN
    ORANG YG SOLEH...AMIN..........

    ReplyDelete
  2. SEMOGA ISTERI ACIK SPIN AKAN TABAH MENGHADAPI DUGAAN DARI ALLAH S.W.T...

    ReplyDelete
  3. Sedih dengan berita ini namun semua ini ketentuan Illahi. Yg buat sedih sangat bila teringatkan anak2 allahyarham yg masih kecil & belum mengerti apa2. Harap isteri Allahyarham Achik tabah dalam menjalani hari2 mendatang tanpa suami tercinta di sisi. Berdoalah agar allahyarham ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman... Amin

    ReplyDelete
  4. semoga ALLAH S.W.T.mencucuri rahmat ke atas rohnya.amin.

    ReplyDelete
  5. semoga tuham menempatkan arwah d tempat y terpuji

    ReplyDelete
  6. Walaupun berat untuk terima kenyataan, saya sebagai peminatnya mendoakan rohnya dtempatkan d tempat y terpuji dan semoga isterinya tabah menerima kehendakNYA...

    ReplyDelete
  7. sye btol2 tdak percye dgn smua ini,,nmun apkan dye allah lbey mnyaynginya.smge dtempatkan dri golangn y soleh,,amin..salam takziah buat keluarga arwah.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.