Beberapa orang keluarga terdekat mangsa ribut melihat bahagian bumbung rumah yang diterbangkan dalam kejadian ribut di Kampung Carok Bemban di sini, 5 petang semalam. Kejadian itu merosakan lebih 30 buah bumbung rumah di kawasan perumahan Taman Mas dan Taman Desa Cempa. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan
BALING 17 April - Hampir 30 rumah di beberapa taman perumahan dan kampung di daerah ini rosak akibat dilanda ribut hari ini. Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, 21 rumah rosak di Taman Emas dengan sebahagian bumbungnya diterbangkan angin.
Turut terlibat rumah-rumah di Taman Desa Chempa Kupang, Kampung Charuk Bemban Kupang, Kuala Ketil dan Bayu.
Seorang penoreh di Kampung Charuk Bemban Kupang, Othman Abd. Arof berkata, dia dan tiga ahli keluarganya nyaris maut apabila sebatang pokok tumbang dan menghempap rumahnya.
Katanya, semasa kejadian dia dan ahli keluarganya berada di dalam rumah berkenaan tetapi sempat menyelamatkan diri.
"Mujurlah saya sempat menyelamatkan diri ketika terdengar pokok itu tumbang dan menghempap rumah," katanya ketika ditemui ditempat kejadian di sini hari ini.
Seorang mangsa ribut, Yong Kooi Hin, 48, turut melahirkan rasa syukur kerana tiada di dalam rumah ketika kejadian tersebut.
Katanya, kejadian itu mengakibatkan rumahnya rosak dengan bumbungnya diterbangkan oleh angin.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Ishak Mat berkata, pihaknya akan membuat tindakan segera dan membaik pulih bumbung rumah yang diterbangkan angin.
"Kita sedang membuat bancian untuk membantu mangsa terbabit sama ada mengalami kerosakan kecil atau besar," katanya.
Kejadian ribut itu adalah kali kedua berlaku dalam bulan ini. Pada 4 April lalu sebanyak 367 buah rumah di kawasan taman perumahan dan beberapa kampung di DUN Kuala Ketil terlibat.
0 comments:
Post a Comment