Polis Tahan 2 Suspek: Kes Serang Budak Tadika




MUAR: Polis berjaya menahan dua orang suspek di sini awal pagi tadi berhubung kes serangan ke atas tiga kanak-kanak tadika Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Johor SAC II Datuk Amer Awal yang ditugaskan mengetuai satu pasukan khas untuk menjejaki penjenayah berkenaan memberitahu, kedua-dua suspek ditahan hari ini secara berasingan. Mereka berusia dalam lingkungan 20an.

Katanya, suspek pertama diberkas di sebuah bangunan di Jalan Maharani pada lebih kurang 12.20 tengah malam tadi manakala seorang lagi 10 minit kemudian di Jalan Daud.

“Kedua-dua suspek mempunyai sejarah atau latar belakang masalah mental dan pernah menerima rawatan di Hospital Muar,” katanya sambil menambah suspek-suspek berkenaan turut mempunyai rekod jenayah dan pengambilan dadah.

Pada Rabu lalu, seorang lelaki bersenjatakan tukul dan memakai topi keledar menyerbu masuk ke dalam sebuah tadika di sini lalu menyerang dan mencederakan tiga kanak-kanak berusia enam tahun dengan menghentak kepala mereka dengan tukul.

Lelaki berkenaan juga sebelum itu telah menyembur serbuk lada ke muka dan mata salah seorang guru tadika itu yang cuba menghalangnya daripada memasuki premis berkenaan.

SAC II Amer juga berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mungkin dipengaruhi dadah ketika melakukan jenayah itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.