2 jurutera, 2 doktor & 2 peguam dlm barisan Exco






ANAK BUKIT, 10 Mac: Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan yakin bahawa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dipilihnya mampu menjalankan tugas dengan lebih efisien memandangkan latarbelakang pendidikan mereka.


Bercakap dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah Exco di Istana Anak Bukit, beliau memberitahu bahawa dalam barisan Exconya terdapat dua orang jurutera YB Dato’ Ir Phahrolrazi Haji Zawawi dan YB Dato’ Ir Amiruddin Haji Hamzah, dua orang doktor perubatan YB Dr Hamdan Mohamed Khalib dan YB Dr Ismail Salleh dan dua orang peguam iaitu YB Dato’ Haji Mohamed Taulan Mat Rasul dan YB Ustaz Abd Ghani Ahmad.

Manakala YB Asyah Haji Ghazali berkelulusan Diploma Tasawur Islam, YB S. Manikumar memegang ijazah dari Universiti Utara Malaysia, YB Lim Soo Nee Diploma Pembangunan dari ICS Singapura dan YB Tan Chew Kang memiliki Diploma Pertanian dari Universiti Taiwan.

“Ini bukan bermakna yang digugurkan tidak baik. Semuanya baik tetapi kita memilih yang lebih baik. Mereka bukan digugurkan tetapi akan diberi tugas lain,” katanya.

Menurut Azizan, Kedah berbeza dengan negeri-negeri lain kerana pelantikan Exco diadakan setahun sekali.

“Ini adalah kehendak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan supaya setiap ahli Exco dinilai prestasi kerjanya setiap tahun,” ujarnya.

Menteri Besar itu meminta supaya semua pihak beri pandangan kepada ahli Exco.

“Saya sentiasa terbuka dan ambil pandangan orang ramai. Kalau yang tidak betul kita perbetulkan dan ambil langkah-langkah perlu. Sekarang di tahap kemaskan lagi untuk setahun akan datang. Itupun kalau masih ada kerajaan kalau tidak ada wakil rakyat yang lari,” katanya bergurau.

Mengenai ketidakhadiran YB Tan Wei Syu pada majlis angkat sumpah itu katanya, Tan sudah memaklumkan kepadanya bahawa beliau tidak sihat.

Berhubung jawatan Timbalan Speaker yang dikosongkan Abdul Ghani, katanya, jawatan itu akan dipilih dari kalangan ADUN pada mesyuarat Sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.

Menjawab soalan pemberita mengenai status kewangan negeri, katanya, Kerajaan Negeri boleh bayar gaji semua kakitangannya dan sekarang giat membina kampus induk Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil. Selain itu kerajaan juga mampu laksanakan program Kafalah dan beri duit raya kepada kaum China dan India.

“Kalau kerajaan tak ada duit tak boleh bagi duit raya orang India dan Cina. Saya bagi ertinya kerajaan ada duit. Kakitangan kerajaan dapat bonus. Hasil bumi bertambah. Tetapi tengoklah ada hasil dapat sekarang dan ada yang kemudian. Dalam politik kena sabar. Tunggu dan lihat,” katanya.

Oleh: AMELIA HASHIM

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.