Pengetua SMoKBJ: 1K Kertas perlu disumbang ibu bapa


BUKIT JENUN - Dalam menjana kecemerlangan warga Sekolah Model Khas Bukit Jenun (SMoKBJ) menyeru ibu bapa agar dapat membantu pihak sekolah dengan memberi sumbangan kertas sebanyak 1,000 bagi setiap pelajar.

Pengetua Sekolah Model Khas Bukit Jenun (SMoKBJ), Abd Razak Mat berkata, pihak sekolah menggalakkan ibu bapa memberikan sumbangan itu untuk kegunaan pihak sekolah bagi melaksanakan proses kurikulum dan kokurikulum.

Menurutnya, tindakan ini kerana pihak Kementerian mengalami masalah kegawatan ekonomi dan segala peruntukan yang disalurkan kepada sekolah dikurangkan kepada tahap yang minimum.

“Hal itu menyebabkan pihak sekolah meminta jasa baik ibu bapa agar dapat memberi sumbangan kertas untuk tujuan memberi latihan dan menyediakan kertas soalan.

“Memang tidak dapat dinafikan guru di sini bertungkus-lumus membantu pelajar untuk belajar dalam suasana yang selesa, namun memerlukan jumlah penggunaan kertas yang banyak untuk memberi latihan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-25 sekolah itu.

Abd Razak berkata, dianggarkan penggunaan kertas untuk setiap bulan mencecah kepada 350 rim kertas yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM15,000 setiap sesi persekolahan yang terpaksa ditanggung pihak sekolah.

“Jika ibu bapa dapat memberi kerjasama dengan menyumbang 1,000 kertas bagi setiap pelajar jumlah yang terkumpul sebanyak 1,040 rim kerana pelajar di sekolah ini berjumlah 1,040.

“Kertas itu bagi menampung kertas yang diperuntukkan kepada pihak sekolah dan kementerian kerana penggunaan kertas ini banyak digunakan pada bulan Julai, Ogos dan September. Ini kerana bulan itu merupakan persediaan bagi pelajar UPSR, PMR dan SPM yang akan menduduki peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata, guru akan menggunakan kertas itu untuk mencetak soalan percubaan.

Sementara itu, beliau turut berharap agar ibu bapa dapat melunaskan segala bayaran yang masih lagi berbaki yang meliputi bayaran PIBG, dana motivasi, bayaran komputer, majalah dan surau.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.