MCA: Tee Keat akan Lawan Sapa Lagi..



Sama ada bekas timbalan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek atau bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting atau kedua-duanya, diramal akan menentang Datuk Seri Ong Tee Keat bagi jawatan presiden parti pada pemilihan 28 Mac ini, menurut penganalisis politik.

"Ia kini menjadi teka-teki. Kedua-dua Ka Ting dan Dr Chua tidak mahu mengumumkannya kerana pertama mereka mahu melihat siapa akan umum dulu dan isytihar jawatan yang akan ditandingi," kata anggota Jawatankuasa Pusat (CC) parti Datuk Ti Lian Ker.

Ti berkata rancangan Dr Chua untuk bertanding akan terganggu jika Ka Ting memutuskan untuk bertanding bagi jawatan yang sama dan ini dakwa beliau akan membuatkan bekas menteri kesihatan itu memikirkan semula mengenai strateginya.

"Sebab itu walaupun ke sana ke mari menghadiri taklimat tertutup, Dr Chua telah menyatakan bahawa beliau belum lagi memutuskan jawatan yang akan ditandingi," katanya.

Seorang penganalisis politik percaya bahawa Ka Ting akan menyertai pemilihan itu, dan ini akan menjejaskan peluang Dr Chua, sungguhpun dikatakan bekas timbalan presiden itu mempunyai kira-kira 40 peratus penyokong daripada keseluruhan 2,400 perwakilan.

"Jika ada pertandingan tiga penjuru antara Tee Keat, Dr Chua dan Ka Ting, ia akan berpihak kepada Ka Ting. Sebab itu Dr Chua tidak gembira jika Ka Ting sertai pertandingan ini," kata penganalisis itu.

Dr Chua dikatakan tidak begitu menyukai jika Ka Ting kembali menyertai pemilihan ini, dengan beliau berkata semalam bahawa jika Ka Ting memutuskan untuk bertanding," ini akan memecah-belahkan lagi parti itu".

Pada hakikatnya, Ti mendakwa bahawa Ka Ting, bersama-sama dengan bekas timbalan presiden MCA Tan Sri Chan Kong Choy dan anggota paling kanan CC Datuk Wong Mook Leong merancang untuk Ka Ting kembali semula dalam pemilihan ini.

Beliau percaya bahawa Dr Chua telah "ditipu" oleh kumpulan ini dan tidak terkejut apabila bekas timbalan presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek, yang dikaitkan dengan kumpulan itu, menggesa Ka Ting untuk berhenti daripada persaraan dalam politik dan menyatupadukan parti berkenaan.

Semua panggilan telefon kepada Ka Ting, Lim dan Wong untuk mengesahkan dakwaan Ti ini, tidak berjawab.

Bagaimanapun, sesetengah penyokong Ka Ting apabila dihubungi mengatakan bahawa dakwaan Ti itu adalah karut, sambil mengatakan ia adalah "agenda peribadi" kerana Ti digugurkan daripada senarai pemilihan umum parti lepas.

"Orang ini bimbang jika Ka Ting kembali menyertai pemilihan ini, ini menyukarkan mereka untuk mempertahankan jawatan mereka," kata seorang penyokong Ka Ting yang enggan namanya disebut.

Kemungkinan Ka Ting kembali semula nampaknya agak jelas apabila bahagian MCA Bentong, yang dikait rapat dengan bekas naib presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan sokongan mereka untuk beliau.

Timbalan ketua bahagian Wong Choo Yak berkata mereka berpihak kepada gandingan Ka Ting-Tiong Lai bagi pertandingan presiden. Ketua bahagian ialah Datuk Hoh Khai Mun, yang juga pengerusi MCA Pahang dan penyokong kuat Menteri Kesihatan itu.

"Beliau (Ka Ting) mempunyai pengalaman dan keberanian untuk memegang jawatan itu. Semasa beliau menjadi presiden, beliau mampu menyatupadukan suara-suara perbalahan bagi kepentingan pengukuhan parti berkenaan.

"Kita juga sepenuhnya di belakang Anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau bebas bertanding bagi mana-mana jawatan yang dipilih," kata Wong.

Bagaimanapun, sesiapa sahaja pencabarnya, Tee Keat kekal tidak bimbang dengan perkembangan terkini ini.

"Saya tidak bimbang dengan apa sahaja spekulasi untuk menuntut mandat daripada perwakilan. Sama ada pemimpin lepas atau sekarang, sekali lagi, saya tidak beri perhatian sangat mengenainya," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.