(LTdL) 2010 : Gelaran Berganda


KUALA BERANG - Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 begitu bermakna buat rakyat Malaysia apabila salah seorang pelumba negara, Anuar Manan berjaya mencipta sejarah sukan basikal negara setelah dinobatkan Pelumba Terbaik Asia buat buat julung kalinya sekali gus meraih Jersi Biru pada perlumbaan peringkat pertama yang bermula di Kota Bharu ke Kuala Berang, semalam.

Lebih manis, Anuar yang mewakili pasukan benua, Geumsan Ginseng Asia (GGA) dari Korea Selatan itu turut menyarung Jersi Hijau bagi Raja Pecut setelah berjaya mengutip mata penuh di dua lokasi pecut, Jelawat dan Kuala Besut.

Selain itu dia turut mengutip satu mata di Sg Tong dan menjadikan 11 mata keseluruhan.

“Saya berpuas hati dengan perlumbaan hari ini (semalam), lebih-lebih lagi apabila menang di negeri saya sendiri. Kejayaan ini dicapai adalah hasil kerjasama semua pelumba pasukan saya.

“Sasaran utama pasukan saya adalah meraih Jersi Hijau dan Kuning (juara peringkat) dan salah satunya telah menjadi kenyataan. Pada perlumbaan seterusnya, saya akan cuba mendapatkan gelaran juara peringkat pula,” katanya selepas perlumbaan semalam.

Pelumba kelahiran Kuala Ibai ini berkata, dia turut gembira kerana buat kali pertama juga berjaya meraih Jersi Biru dan ia adalah bonus buat dirinya.

“Kemenangan berganda hari ini (semalam) adalah hasil usaha keras saya selama lebih kurang dua bulan menjalani latihan di Thailand. Dengan kemenangan ini ia telah mengubat kekecewaan saya pada perlumbaan tahun lalu yang mengalami sedikit kemerosotan.

“Rakan-rakan pasukan juga turut memainkan penting dalam perlumbaan ini. Pada 10 kilometer terakhir perlumbaan itu saya mempunyai peluang terbaik untuk memecut ke depan namun kedudukan saya agak tertutup,” katanya.

Sementara itu, Anuar berkata, pada perlumbaan peringkat kedua hari ini, dia akan cuba mengutip mata dan mengekal rentak persaingan.

“Sekurang-kurang esok (hari ini) saya akan cuba mengutip lima mata dan cuba untuk mengekalkan Jersi Hijau dan cuba menjadi juara peringkat,” katanya.

Perlumbaan peringkat kedua hari ini bermula di Kuala Terengganu ke Chukai dengan jarak 182.3km.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.