* Berapa billion USD telah dibelanjakan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk rokok?
* Berapa juta umat Islam yang mati tiba-tiba diserang penyakit jantung akibat rokok?
* Berapa juta umat Islam yang mati tersiksa akibat kanser yang berpunca dari rokok?
* Berapa ramai di kalangan remaja dan pemuda Melayu Islam yang ketagihan dadah yang bermula dari rokok?
* Berapa ramai remaja yang digantung persekolahan disebabkan rokok?
* Berapa ramai imam dan bilal yang nafasnya berbau disebabkan amalan merokok?
* Berapa juta di kalangan umat Islam yang gagal menunaikan fardhu haji kerana pendapatan hariannya kering dek ketagihan rokok?
* BERAPA dan KENAPA?
Pada bulan Mac 2009 yang lalu, genaplah empat belas tahun sejak fatwa pengharaman merokok mula-mula dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-37 pada 23 Mac 1995 lalu. Tetapi ulangtahun ke-14 ini terus disambut dengan begitu dingin sekali kerana rata-rata masih ramai orang Islam khasnya tidak mengetahui atau sengaja tidak mahu tahu tentang wujudnya fatwa tersebut. Oleh yang demikian tabiat merokok semakin berleluasa walaupun kerajaan berusaha untuk membasmi tabiat yang tidak baik di kalangan warganegara ini. Kedinginan hebahan fatwa ini perlu diperbaiki segera sekiranya orang-orang Islam khasnya prihatin tentang kedudukan ummah terutama sekali di kalangan kaum remaja.
Kanser paru-paru
Seorang ulama Fiqh Hanafi, Sheikh Muhammad al-Aini menyatakan pengharaman merokok adalah berdasarkan kepada empat perkara:
1. Merokok membahayakan kesihatan (membunuh) seperti yang dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan.
2. Rokok mengandungi bahan dadah yang ditegah seperti yang dinyatakan oleh hadith Nabi Muhammad SAW.
3. Asap rokok bukan sahaja menyakiti diri perokok bahkan mengganggu orang-orang tidak merokok terutamanya di tempat-tempat awam seperti di tempat-tempat solat di samping menyakiti para malaikat. Kajian perubatan juga mendapati bahawa bayi yang ada dalam kandungan ibu yang menjadi teman hidup perokok juga terkesan dengan kesalahan ini.
4. Tabiat merokok menyebabkan pembaziran yang sangat-sangat dilarang oleh Allah SWT dan juga Rasulullah SAW (sesungguhnya membazir adalah saudara syaitan).
Fatwa yang memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram merupakan langkah permulaan yang amat baik. Malangnya usaha murni ini seolah-olah tidak berkecapaian. Pelaksanaannya terbengkalai sebegitu lama dan tidak menampakkan apa-apa tindak-tanduk yang sistematik dalam memperkenalkannya kepada masyarakat Islam khasnya. Suara-suara sumbang telah mula kedengaran agar fatwa ini ditimbang semula.
Bulan Ramadhan, bulan tarbiyah yang amat baik, tidak seharusnya berlalu begitu saja tanpa sebarang kesungguhan untuk mengajak lebih ramai lagi perokok mengambil kesempatan bulan yang penuh berkat ini supaya berhenti daripada satu bentuk kemungkaran iaitu pembaziran sekurang-kurangnya.
Kalau kita selalu diperingatkan tentang jangan membazir makanan semasa berbuka puasa dan pembaziran itu adalah amalan syaitan; tetapi pembaziran akibat tabiat merokok tidak dititikberatkan langsung. Apatah lagi pembaziran merokok diiringi dengan ribuan kemudaratan. Dalam hal ini ramai di antara kita rasanya telah bersubahat tanpa disedari atau tidak. Ini adalah satu konflik paling besar yang mesti kita selesaikan bersama.
Soalnya berapa lama lagi kita sanggup bersubahat untuk ‘membunuh’ adik beradik kita, keluarga dan masyarakat kita secara halus?
0 comments:
Post a Comment